Berita

Kementerian, agensi dan GLC tidak perlu bersaing anjur majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri

Kredit foto: Facebook Anwar Ibrahim
- Diterbit 2 April 2024 9:43 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan setiap kementerian, agensi kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) agar tidak bersaing dalam menganjurkan majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Katanya, peringatan itu dizahirkan bagi mengelakkan pembaziran dan pada masa sama kerajaan harus berjimat cermat dalam berbelanja ketika sambutan Aidil Fitri.

“Kita kata kerajaan harus cermat dalam berbelanja ini termasuk agensi untuk sambut aidil fitri dan ia memang munasabah,

“Saya hendak pastikan Perbendaharaan (Kementerian Kewangan) dan syarikat-syarikat ini tunjukkanlah contoh, janganlah bersaing siapa yang lebih megah dan gagah, (kerana) bukan wang kamu pun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Kementerian Kewangan (MoF) di Putrajaya hari ini.

Hadir sama, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Johan Mahmood Merican.

Tambah Perdana Menteri, sebagai Perdana Menteri beliau boleh berbelanja kerana tiada yang boleh menyekatnya dari berbuat demikian.

“Tetapi saya fikir, ini bukan wang saya dan ia bukan (milik) peribadi. Apa ertinya saya tidak mengambil gaji, tetapi boros belanja wang kerajaan.

“Jadi untuk sambutan, sambutlah sederhana, ingatlah bahawa, Ramadan ini mengetuk pintu hati kita, dhamir kita, concious kita kerana ramai diluar sana termasuk keluarga jauh kita yang tidak mendapat keseleasaan,” katanya.

Menurutnya, bagi menjimatkan perbelanjaan kerajaan, beliau telah memutuskan agar majlis sambutan Aidilfitri tidak dibuat besar-besaran di Seri Perdana.

“Saya akan ikut beberapa sambuatan di negeri-negeri oleh kementerian-kementerian seperti mana Ramadan, yang kementerian menerajui program dan saya akan hadir dan ia tidak akan menokok perbelanjaan.

“Ini bukanlah dalam istilah Inggeris disebut sebagai , “penny wise, pound foolish too petty, itu tidak.

“Dalam proses ini, kita beri pendidikan dan pencerahan, apa lagi di bulan Ramadan dan Aidil Fitri itu adalah kita kembali kepada fitrah iaitu sifat semulajadi iaitu berjimat cermat,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas