Berita

Kementerian Wilayah Persekutuan kini dikenali Jabatan Wilayah Persekutuan

SESI Taklimat Jabatan Wilayah Persekutuan dan Agensi bersama Perdana Menteri yang diadakan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini. Kredit foto: Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan
- Diterbit 22 Disember 2022 10:04 AM MYT

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan kini distruktur semula sebagai Jabatan Wilayah Persekutuan dengan pentadbirannya di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi satu hantaran di Facebook selepas menghadiri Sesi Taklimat Jabatan Wilayah Persekutuan dan Agensi bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur hari ini.

“Sesi taklimat kepada Perdana Menteri telah disampaikan oleh Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar berkaitan struktur terkini pentadbiran Jabatan Wilayah Persekutuan.

“Sebelum ini jabatan tersebut adalah sebuah kementerian yang telah distrukturkan semula pentadbirannya di bawah JPM,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zuki memaklumkan sebaik selesai taklimat tersebut, beliau bersama Perdana Menteri menghadiri Majlis Interaksi Wilayah Persekutuan.

“Majlis tersebut merupakan platform di antara pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan dengan Ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan bagi membincangkan isu-isu kritikal serta cadangan pelaksanaan dasar pembangunan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Wilayah Persekutuan,” jelas beliau.

Kedua-dua majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Kanan JPM, Datuk Solehuddin Alyubi; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah; Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud dan Ketua Pengarah Eksekutif Perbadanan Labuan, Rithuan Mohd Ismail. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas