Berita

Kementerian Luar Dalam Proses Evakuasi Warga Malaysia Di Tebing Barat – Zambry

Foto kredit: Bernama
- Diterbit 12 Oktober 2023 4:07 AM MYT

KEMENTERIAN Luar kini dalam proses evakuasi bagi mengeluarkan seorang wanita rakyat Malaysia dari Tebing Barat susulan pertempuran antara Israel dan Palestin sejak 7 Okt lepas.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata wanita itu yang dikenali sebagai Dr Nurul Ain Latif dari Kota Bharu, Kelantan telah berkahwin dengan seorang warga Palestin, dan dia dilaporkan berada di tempat yang selamat.

“Kita sedang berusaha untuk melakukan proses evakuasi buat Dr Nurul Ain, dan hingga kini kita mendapat kerjasama daripada Kedutaan Filipina bagi mengeluarkan keluarga ini bersama-sama lapan warga Indonesia yang berada di kawasan itu,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Tan Hong Pin (PH-Bakri) yang ingin tahu bantuan yang diberikan oleh kerajaan bagi memastikan keselamatan warga Malaysia, terutama yang berada di Tebing Barat susulan konflik yang berlaku.

Selain Dr Nurul Ain, beliau berkata terdapat seorang ibu dan tiga anak yang merupakan pemegang pasport Malaysia, dilaporkan berada di kawasan konflik. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas