Berita

Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023: Aksi Kumpulan G ditangguh ke Jun

|
- Diterbit 18 Februari 2021 5:42 AM MYT

KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan jadual baki perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023, yang turut melibatkan skuad kebangsaan ditunda ke Jun depan.

Setiausaha Agung AFC Datuk Windsor Paul John berkata, kelima-lima pasukan iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam, telahpun memberikan kata putus menerusi satu mesyuarat secara dalam talian bersama kesemua 40 pasukan bertanding, dalam pusingan kedua itu.

“Bagi Kumpulan G, kami (AFC) sudah mendapat persetujuan kesemua lima negara untuk menunda baki perlawanan pada bulan Mac kepada Jun, dan semua perlawanan akan dimainkan secara berpusat,” katanya kepada Bernama hari ini.

AFC sebelum ini memberikan sehingga 15 Feb lepas, untuk semua pasukan memuktamadkan pendirian berhubung jadual baki perlawanan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Pada masa sama, Windsor berkata AFC kini akan memulakan proses pemilihan venue dengan mengeluarkan surat pemakluman kepada kesemua pasukan, bagi memohon untuk menjadi tuan rumah pada Jun.

Namun menurut beliau, mana-mana pasukan yang berhasrat menjadi tuan rumah perlu memenuhi beberapa kriteria utama ditetapkan badan induk bola sepak Asia itu.

“Antaranya sempadan negara mesti dibuka kepada pasukan dan pegawai perlawanan, mesti mempunyai infrastruktur kesihatan yang baik, fasiliti kuarantin selain tidak dipaksa untuk menjalani proses kuarantin sekiranya memasuki negara,” jelasnya.

Pada masa sama Windsor berkata, surat pemakluman itu dijangka dikeluarkan minggu depan dan kesemua negara diberikan tempoh masa mencukupi dalam membuat keputusan, sebelum AFC menilai seterusnya menentukan negara yang benar-benar layak.

Mengikut jadual asal, Malaysia akan menentang UAE di Dubai pada 25 Mac sebelum melayan kunjungan Vietnam pada 30 Mac dan menamatkan pusingan itu berdepan Thailand pada Jun.

Selepas lima perlawanan, Malaysia hanya dipisahkan dua mata di belakang pendahulu Kumpulan G, Vietnam yang mengumpul 11 mata, sementara Thailand pada kedudukan ketiga (lapan mata), UAE keempat (enam mata) dan Indonesia di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas