Berita

Kelantan kemuka laporan situasi COVID-19 kepada Kerajaan pusat

- Diterbit 5 Mei 2021 7:17 AM MYT

KERAJAAN negeri Kelantan telah mengemukakan laporan berkaitan situasi semasa penularan wabak COVID-19 yang agak kritikal di negeri itu kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk menimbang apa-apa tindakan yang sesuai.

Menteri Besarnya Datuk Ahmad Yakob berkata laporan daripada Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) itu diserahkan beberapa hari lepas, namun setakat ini masih belum ada sebarang maklum balas.

“Antara laporan yang dikemukakan itu adalah kewujudan varian Afrika Selatan B.1.351 dengan kadar yang sangat tinggi di Kelantan manakala kadar kebolehjangkitan (RT) masih melebihi 1.0.

“Selain itu, jangkitan COVID-19 telah berlaku dalam komuniti dengan 16 peratus kes tiada kaitan epidemiologi malah pengurusan sumber manusia serta logistik fasiliti kesihatan semakin meruncing,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan RM1 juta daripada Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan kepada Tabung Amanah Kebajikan Darulnaim bagi membantu mangsa COVID-19 di sini hari ini.

Ahmad berkata beliau yakin arahan tindakan lanjut akan dimaklumkan oleh pihak Menteri Kanan setelah perbincangan dilakukan di peringkat jawatankuasa teknikal bagi meneliti perkembangan situasi COVID-19 di negeri-negeri termasuk Kelantan yang merekodkan kes harian tiga angka sejak dua minggu lepas.

“Sekarang Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) telah meminta supaya negeri-negeri hendaklah bersama dan tidak membuat keputusan berlainan. Jadi kita tunggu sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata situasi jangkitan COVID-19 di Kelantan sememangnya amat membimbangkan namun sebarang tindakan yang hendak dilaksanakan perlu mengambil kira pelbagai aspek termasuk mendengar pandangan daripada semua pihak antaranya pihak kesihatan dan ekonomi.

Semalam, Kelantan merekodkan 296 kes harian baharu COVID-19 dengan 35 kluster masih aktif termasuk dua kluster baharu dikesan melibatkan daerah Machang, serta enam kematian, menjadikan jumlah kumulatif maut akibat wabak itu sebanyak 52 kes.

Ditanya sama ada Kelantan membenarkan sambutan Aidilfitri seperti menganjurkan rumah terbuka, Ahmad berkata setakat ini, kerajaan negeri mengikut setiap garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) daripada kerajaan pusat. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas