Berita

Kekal duduk di kampung, jangan pulang ke ibu kota

DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB
- Diterbit 24 Mac 2020 9:55 AM MYT

PUTRAJAYA – Bagi menyekat penularan wabak Covid-19, orang ramai diingatkan agar terus tinggal di kampung masing-masing sehingga Perintah Kawalan Pergerakan tamat pada 31 Mac ini.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengadakan sekatan jalan raya di 23 lokasi di tol lebuh raya.

“Tujuannya adalah untuk menyekat orang ramai yang pulang ke kampung kembali semula ke rumah masing-masing di ibu kota.

“Sekatan itu juga adalah untuk meminta pemandu-pemandu pulang semula ke kampung masing-masing,” katanya.

Ismail Sabri turut menasihatkan orang ramai untuk tidak meneruskan atau merancang perjalanan pulang ke rumah masing-masing kerana polis tidak akan membenarkan mereka berbuat demikian.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis melaporkan pada hari keenam Perintah Kawalan Pergerakan, kira-kira 1,029 sekatan jalan raya telah di adakan.

“Sebanyak 163,687 buah kenderaan diperiksa, 2,481 pemeriksaan secara mengejut dilakukan dan 1,719 hebahan maklumat secara berterusan dilakukan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas