Berita

KDNK China 2020 lepasi 100 trilion Yuan

- Diterbit 18 Januari 2021 8:34 AM MYT

KELUARAN Dalam Negara Kasar (KDNK) China melepasi RMB100 trilion (RM62.37 trilion) pada 2020.

KDNK per kapita pula melebihi USD10 ribu untuk dua tahun berturut-turut, kata Naib Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China, Ning Jizhe.

Menurut laporan rasmi dikeluarkan Biro Statistik Kebangsaan (NBS) China, jumlah KDNK mencatat RMB98.65 trilion (RM58.93 trilion) pada 2019.

Ning Jizhe, merangkap Ketua Pengarah NBS, dalam satu wawancara berkata, pertumbuhan ekonomi China dilihat berubah daripada negatif kepada positif pada suku ketiga tahun 2020 dan mewujudkan pertumbuhan KDNK sebanyak 0.7 peratus dalam tiga suku pertama 2020.

Katanya, kejayaan pihak berkuasa mengawal penularan wabak COVID-19 merupakan antara faktor mendorong kepada pembangunan sosioekonomi.

Untuk rekod, China negara paling awal berjaya mengawal wabak, memulihkan kegiatan pengeluaran dan mewujudkan pertumbuhan positif dengan kadar pertumbuhan ekonomi diunjur mencatat kira-kira dua peratus, sekali gus menjadi satu-satunya entiti ekonomi utama mewujudkan pertumbuhan positif di dunia.

Menurut laporan prospek ekonomi global dikeluarkan Bank Dunia pada 5 Januari, pertumbuhan ekonomi China diunjur mencatat dua peratus pada 2020 dan 7.9 peratus tahun ini.

Manakala, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula mengunjurkan pertumbuhan ekonomi China mencatat 1.9 peratus pada 2020 dan 7.9 peratus tahun ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas