Berita

Kaligrafi khat sinari kehidupan Nur Anis

- Diterbit 31 Oktober 2019 8:56 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto NAZIRUL ROSELAN

SENI kaligrafi khat sememangnya sebuah karya seni yang halus dan indah.

Bagi Nur Anis Soffea Zul­kefli, 20, takdir yang membawanya menjadi penggiat seni kaligrafi khat diterima dengan penuh ke­syukuran kerana mendekatkannya dengan tulisan yang sinonim dengan al-Quran.

“Saya dahulu belajar aliran sains tulen di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nurul Ittifaq, Kuala Besut, Terengganu.

“Selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), saya ditawar melanjutkan pelajaran ke Universiti Tun Husein Onn (UTHM) Batu Pahat, Johor dalam bidang Kejuruteraan namun terpaksa menolak tawaran tersebut kerana masalah kewangan,” ceritanya kepada Wilayahku.

“Saya kemudian menerima tawaran daripada Kolej Antarabangsa Restu di Shah Alam dan mengambil kursus Diploma Seni Mushaf kerana ia me­rupakan bidang yang unik selain tidak diajar di mana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia,” katanya.

Kata Nur Anis, antara cabaran utama untuk menamatkan pengajian dalam bidang itu apabila kesemua pelajar dikehendaki menyalin semula Surah Yaasin sebagai syarat untuk menamatkan pengajian melalui projek akhir.

“Kami perlu menyalin semula surah tersebut di dalam saiz kertas A2 yang memakan masa kira-kira satu bulan.

“Walaupun nampak mudah, dalam proses penyalinan ini, kami mesti mengikut format yang ditetapkan pensyarah selain mengikut lapan peringkat yang ditetapkan agar proses penyalinan lancar dan tertib,” katanya.

Pada peringkat yang kedua, katanya, pelajar perlu melakar ayat berserta baris dengan menggunakan pensel.

“Sebelum meneruskan ke peringkat ketiga, lakaran ayat dan baris itu perlu melalui proses ‘tashih’ iaitu proses semakan dengan pensyarah.

“Kemudian kami melalui proses selanjutnya iaitu menulis semula Surah Yaasin dengan menggunakan dakwat.

“Selepas itu, kami melalui peringkat terakhir iaitu proses kemasan,’’ ujar Nur Anis.

Katanya, proses itu agak mudah kerana perlu meneliti setiap huruf dan baris dan sekiranya terdapat le­bihan dakwat, kemasan dilakukan dengan mengikis dakwat tersebut menggunakan pisau cukur.

Anak kedua dari enam adik beradik ini mengakui, kini bidang seni mushaf membawa sesuatu yang terbaik dalam kehidupannya.

“Ia merupakan satu bidang yang mendekatkan diri saya dengan ayat suci al-Quran selain mendalami seni mushaf yang merupakan khazanah umat Islam yang amat berharga,” kata­nya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas