Berita

Judi dalam talian: 14 rakyat China, tiga lelaki tempatan ditahan

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 17 Januari 2024 5:25 PM MYT

JABATAN Imigresen menumpaskan sindiket perjudian dalam talian dengan menahan 17 individu di sebuah premis di Jalan Kerinchi, Bangsar, di sini, semalam.

Kesemua mereka yang ditahan dalam operasi pada 11 malam tadi terdiri daripada 14 lelaki rakyat China dan tiga lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20-an hingga 30-an.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata operasi ini dijalankan berdasarkan aduan orang awam dan risikan yang dibuat selama sebulan.

Beliau berkata pihaknya terpaksa memecahkan pintu masuk premis itu, selepas penghuni premis enggan memberikan kerjasama membuka pintu masuk.

“Kami terpaksa pecahkan pintu masuk dan mendapati 14 warga China sedang menjalankan aktiviti judi dalam talian dengan menyasarkan pelanggan dari Brazil,” katanya dalam sidang media khas di sini, hari ini.

Ruslin berkata kesemua suspek warga China itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan dan perjalanan diri yang sah, dipercayai masih dipegang pihak sindiket.

Manakala, kesemua tiga lelaki tempatan itu pula yang disyaki bekerja sebagai penjaga premis kepada sindiket itu ditahan bagi membantu siasatan, dan turut diberikan saman, menurutnya.

Beliau berkata pihaknya turut merampas antaranya 16 unit komputer riba, 10 unit skrin komputer, 45 unit telefon bimbit dan dua unit tablet dengan salah satu tablet dipercayai dijadikan sebagai dekoder kamera litar tertutup, beberapa peralatan ICT serta bil utiliti premis.

“Kesemua pendatang ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan dibawa ke Jabatan Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata imigresen tidak akan berkompromi ke atas mana-mana pihak yang cuba melakukan apa-apa kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966 khususnya kepada rakyat tempatan yang cuba bersekongkol melindungi pendatang di dalam negara ini.

“Saya juga meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat tentang keberadaan pendatang di sekitar ibu kota menyalurkan perincian mengenai perkara ini kepada imigresen dengan kadar segera,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas