Berita

ROS larang semua pertubuhan berdaftar di bawahnya adakan program

- Diterbit 16 Mac 2020 8:58 AM MYT

KUALA LUMPUR – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) melarang semua pertubuhan di negara ini mengadakan program, aktiviti, persidangan, perhimpunan atau mesyuarat agung sehingga 30 Jun ini selaras dengan arahan-arahan yang dikeluarkan kerajaan.

ROS dalam satu kenyataan menegaskan, mesyuarat-mesyuarat berkaitan perlu dilaksanakan seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan pertubuhan masing-masing.

“ROS sebagai sebuah jabatan kerajaan yang mengawal selia pertubuhan-pertubuhan berdaftar di Malaysia turut terlibat dengan arahan-arahan ini kerana pertubuhan akan melaksanakan pelbagai program termasuk mesyuarat di pelbagai peringkat.

“Larangan ini adalah terpakai disetiap peringkat pertubuhan termasuk cawangan-cawangan diseluruh negara,” katanya.

Menurutnya, arahan khas yang dikeluarkan ini adalah selaras dengan kuasa-kuasa Pendaftar di bawah peruntukan Seksyen 3A, Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335].

Katanya, namun, sekiranya sehingga pada tarikh 30 Jun nanti, wabak Covid-19
masih dalam situasi meruncing maka pertubuhan hendaklah mengemukakan permohonan kepada ROS untuk pertimbangan bagi perlanjutan tempoh daripada tarikh awal yang ditetapkan.

Jelasnya, permohonan perlanjutan adalah bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan pertubuhan berdaftar ke atas undang-undang tubuh pertubuhan serta Akta 335.

“Adalah diharapkan agar segala usaha dan langkah pencegahan yang dilakukan kerajaan akan dapat membantu mencegah penularan Covid-19 dan sekali gus melindungi rakyat Malaysia daripada wabak ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas