Berita

JPA Laksana pusingan kerja pegawai di Jabatan sensitif

- Diterbit 6 April 2021 6:02 AM MYT

KETUA Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah diarahkan untuk melaksanakan pusingan kerja bagi pegawai di jawatan-jawatan sensitif yang cenderung kepada isu berkaitan salah laku rasuah.

Dalam kenyataan hari ini yang dikeluarkan ekoran pendedahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan sindiket kartel tender kerajaan, Mohd Zaki menyatakan kekesalannya terdapat segelintir penjawat awam yang membenarkan diri mereka diperguna oleh pihak berkepentingan untuk habuan lumayan.

“Saya memberi jaminan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjawat awam yang terlibat dalam isu ini ataupun sebarang salah laku yang menjejaskan imej perkhidmatan awam sekiranya dibuktikan bersalah,” katanya.

Mohd Zuki berkata pendedahan SPRM berkenaan sindiket kartel tender kerajaan yang bernilai RM3.8 bilion amat membimbangkan.

Menurutnya, kes tersebut mula dikesan sejak 2014, dan hasil pemerhatian serta risikan berterusan pihak SPRM telah berjaya membawa kepada penahanan beberapa individu yang menjadi suspek utama siasatan.

Dilaporkan, SPRM menumpaskan sindiket kartel projek yang memonopoli 345 tender kementerian dan agensi kerajaan yang bernilai RM3.8 bilion, dengan penahanan tujuh individu termasuk ketua sindiket pada Ahad.

Ketua sindiket yang berumur 47 tahun dikatakan mengawal lebih 150 syarikat yang berfungsi untuk memasuki tender atau sebut harga di kementerian dan agensi yang terlibat.

Menurut laporan, modus operandi kartel ialah membayar rasuah kepada ‘orang dalam’ untuk mendapat maklumat berhubung spesifikasi, harga siling, harga jabatan, jumlah penyertaan, kelayakan syarikat dan masa yang sesuai untuk menghantar borang tender dan sebut harga.

Mohd Zuki berkata beliau menyokong penuh usaha untuk membanteras apa jua bentuk salah laku dan penyelewengan yang berlaku dalam sistem penyampaian kerajaan terutama isu berkaitan rasuah yang dikendalikan oleh SPRM.

“Saya telah berulang kali memberi peringatan kepada semua ketua jabatan supaya menerap dan memegang utuh konsep integriti dalam pengurusan organisasi dengan memperkukuh program kesedaran dan pencegahan selaras dengan pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP),” katanya. – BERNAMA

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas