Berita

JENDELA: 2,338 menara telekomunikasi baharu dibina

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 28 Februari 2024 2:25 PM MYT

SEBANYAK 2,338 menara telekomunikasi baharu daripada 3,884 yang dirancang melalui Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) untuk menaik taraf jaringan jalur lebar di seluruh negara telah siap dibina dan beroperasi setakat suku keempat tahun lepas.

Kementerian Komunikasi memaklumkan 39,979 stesen pemancar daripada 40,214 yang dirancang juga telah siap dinaik taraf dan 3.31 juta premis daripada 4.19 juta yang dirancang telah tersedia dengan rangkaian gentian optik.

“Baki kesemua inisiatif yang dirancang dijangka siap dan beroperasi secara berperingkat pada penghujung 2025,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (PN-Tanjong Karang) berkenaan hasil terkini perancangan kerajaan bagi meluaskan jaringan jalur lebar di seluruh negara.

Menurut Kementerian Komunikasi, kerajaan turut melaksanakan kaedah hab gentian optik titik kehadiran (PoP) bagi meluaskan pelaksanaan jalur lebar dengan 653 PoP daripada 677 PoP bagi Fasa Satu dan 294 PoP daripada 3,693 PoP bagi Fasa Dua telah disiapkan di seluruh negara setakat 15 Feb lepas.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Komunikasi memaklumkan sepanjang tahun lepas sebanyak 155 aduan diterima dan disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkaitan kesalahan yang diperuntukkan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

Sebanyak 66 kes atau 43 peratus membabitkan kandungan palsu, 47 kes (30 peratus) kandungan jelik, 36 kes (23 peratus) kandungan lucah dan masing-masing tiga kes (dua peratus) kandungan mengancam dan kandungan sumbang.

Daripada jumlah kes itu, 108 kes berstatus tiada tindakan lanjut (NFA) dan tiada kesalahan dizahirkan (NOD), 33 kes masih disiasat, lapan kes dikeluarkan notis amaran, tiga didakwa di mahkamah serta tiga ditawarkan kompaun.

“Kes-kes yang diklasifikasikan sebagai NFA atau NOD disebabkan tiada bukti yang kukuh untuk mengaitkan suspek dengan kesalahan yang disiasat di bawah Seksyen 233 Akta 588,” menurut Kementerian Komunikasi sebagai menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) yang ingin tahu statistik kes di bawah Seksyen 233 Akta 588.

Selain itu, Kementerian Komunikasi memaklumkan MCMC telah melaksanakan tindakan sekatan terhadap 1,122 laman pornografi dan lucah bagi tempoh 1 Jan 2023 hingga 15 Feb 2024. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas