Berita

JAWI Foodbank ringankan beban penduduk terkesan akibat PKP

ANUAR menyampaikan sumbangan JAWI Foodbank kepada kanak-kanak di perkampungan air di Saguking Laut.
- Diterbit 20 Mei 2020 3:10 PM MYT

LABUAN – Nasib penduduk yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendapat perhatian Program Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Foodbank.

Melalui program bantuan itu, penduduk terbabit menarik nafas lega apabila mereka menerima sumbangan makanan, susu dan lampin bayi.

Pegawai JAWI Foodbank cawangan Labuan, Anuar Mat Saad berkata, setakat ini seramai 1,000 ahli keluarga telah menerima sumbangan itu daripada JAWI Foodbank ( Labuan) dengan kerjasama Masjid Sultan Muhammad V, masjid dan surau di seluruh Labuan.

“Kita bukan sahaja menghantar bantuan kit makanan malah bantuan susu dan lampin juga turut disumbangkan kepada keluarga yang terjejas.

“Jumlah permohonan bantuan susu dan lampin telah mencecah 200 permohonan dan kita telah berjaya menyumbangkan bantuan susu dan lampin kepada 70 keluarga setakat ini,” katanya ketika ditemui Wilayahku.

Anuar berkata, sumbangan berkenaan merupakan kerjasama dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masjid-masjid di pulau ini.

“Kami juga melaksanakan program Dapur It’am iaitu memberikan makanan untuk berbuka setiap hari sepanjang bulan Ramadan kepada petugas barisan hadapan dan golongan terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, Anuar berkata, individu, syarikat dan NGO yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Muamalat (1501-0001-5147-18) di atas nama Masjid Sultan Muhammad V. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas