Berita

Janda anak enam miliki ganja, syabu dicekup polis

NOOR AZAM (tiga dari kanan) menunjukkan rampasan dadah yang dilakukan pihak polis dalam dua serbuan berasingan, Jumaat lalu dalam sidang akhbar IPK Selangor, Shah Alam hari ini.
- Diterbit 2 Mac 2020 7:54 AM MYT

SHAH ALAM –  Seorang janda anak enam ditahan selepas polis menemui 150 kilogram (kg) ganja di rumahnya di Ampang, Jumaat minggu lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, serbuan yang dilakukan pihaknya ke rumah janda berusia 32 tahun itu turut menemui satu kg dadah jenis syabu yang disorokkan di dalam almari pakaian.

“Dianggarkan, nilai kedua-dua jenis dadah yang ditemui adalah RM514,000.

“Siasatan mendapati, janda berkenaan adalah seorang penganggur dan semua anaknya dijaga oleh ibunya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Susulan penahanan janda berkenaan, polis menyerbu sebuah rumah teres di Gombak pada hari sama dan menahan dua lelaki warga tempatan.

Noor Azam berkata, ketika serbuan itu, pihaknya turut menemui dadah jenis ganja di ruang tamu rumah terbabit.

“Dua suspek tersebut, masing-masing berusia 53 dan 49 tahun itu bekerja sebagai juruelektrik. Hasil ujian air kencing turut mendapati kedua-dua suspek positif dadah.

“Siasatan bagi mengetahui siapa dalang dalam sindiket yang sudah beroperasi tiga bulan ini masih dijalankan,” katanya.

Semua suspek kini direman sehingga Jumaat ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas