Berita

Jalan Masjid India antara 10 lokaliti ditamatkan PKPD

PKPD di Selangor Mansion, Malayan Mansion dan sekitar Jalan Masjid India telah ditamatkan semalam. KAWASAN Selangor Mansion dan Malayan Mansion diletakkan di bawah PKPD.
- Diterbit 4 Mei 2020 9:57 AM MYT

PUTRAJAYA – Penduduk di 10 lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) sebelum ini boleh menarik lega apabila ia ditamatkan semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penamatan PKPD itu meliputi Menara City One, Selangor Mansion dan Malayan Mansion serta kawasan sekitar  Jalan Masjid India.

Katanya, selain itu adalah parcel A dan B merangkumi Jalan 6/3a dan 9/3a di Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur serta pasar Borong Selayang.

“Turut ditamatkan lokaliti PKPD semalam adalah Parcel A dan B di Selayang Baru, Gombak.

“PKPD di Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Paya Lebar, Hulu Langat akan ditamatkan esok,” katanya dalam sidang akhbar harian hari ini.

Mengulas lebih lanjut, Ismail Sabri menegaskan lapan lokaliti masih dilanjutkan PKPD sehingga 12 Mei ini.

“PKPD tersebut adalah bagi parcel C, D, E, F masing-masing di Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur dan Selayang Baru,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas