Berita

IPTA cukup tampung keperluan semasa – KPT

- Diterbit 22 Mac 2024 3:31 PM MYT

PENAMBAHAN Universiti atau Politeknik boleh dipertimbangkan sekiranya terdapat keperluan yang mendesak bagi bidnag-bidang tertentu dalam menyokongan hala tuju negara.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata tempat pengajian di Universiti Awam (UA) pada masa kini adalah mencukupi bagi menampung keperluan dan permintaan semasa.

“Kenyataan ini adalah jelas berdasarkan jumlah kemasukan ke UA pada 2023 adalah seramai 193,031 orang pelajar, iaitu terdapat peningkatan berbanding 188,915 orang pada tahun 2022 dan 181,901 pada tahun 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi jawapan lisan yang dikemukakan oleh Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu-BN) yang bertanyakan mengenai langkah yang diambil bagi mengatasi isu ketidakcukupan tempat di universiti awam, memandangkan ketika ini Kementerian dilihat tidak mempunyai perancangan untuk menambah bilangan universiti awam.

Menurut Zambry, kementerian sentiasa komited dan jelas memberi tumpuan penuh kepada penambahbaikan peranan IPTA yang terdiri daripada 20 buah UA, 36 buah Politeknik dan 105 buah Kolej Komuniti (KK) serta memberi akses pendidikan tinggi yang terbaik kepada para pelajar yang mana ketersediaan infrastruktur sedia ada ini adalah mencukupi dalam menyokong pendidikan peringkat diploma dan ijazah.

“Kementerian turut memperkenal sistem pembelajaran secara hibrid dan jadual anjal yang memberi pilihan kepada pelajar untuk mengikuti pengajian dari rumah atau dari kampus tanpa perlu hadir secara fizikal di kelas.

“Sebanyak 95 Program Pengajian Ijazah Sarjana Muda daripada 19 UA telah melaksanakan pembelajaran anjal bermula Oktober 2023 bagi kemasukan Sesi Akademik 2023/2024.

“Perkara ini bukan sahaja membolehkan lebih banyak tempat diwujudkan mengikut kesesuaian dan keperluan di sesebuah IPT malah akan mengurangkan kos pendidikan tinggi,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas