Berita

Indonesia, Bangladesh dan Nepal setuju keputusan Malaysia hantar pulang PATI

DEPOT Tahanan Imigresen.
- Diterbit 28 Mei 2020 7:26 AM MYT

PUTRAJAYA – Tiga buah negara telah bersetuju dengan keputusan Malaysia menghantar pulang rakyat mereka yang memasuki negara ini secara haram.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga buah negara itu adalah Indonesia, Nepal dan Bangladesh dengan proses penghantaran pulang sedang dibincang antara Wisma Putra bersama wakil kedutaan negara tersebut.

Beliau berkata, nota turut dihantar kepada pejabat kedutaan negara lain yang mana warga mereka berada di Depot Tahanan Imigresen di negara ini.

“Saya berharap kedutaan negara lain bekerjasama seperti Indonesia, Nepal dan Bangladesh terhadap cadangan penghantaran pulang warga mereka,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari.

Laporan sebelum ini memetik Ismail Sabri sebagai berkata, Malaysia memutuskan untuk menghantar pulang warga asing tanpa izin yang negatif Covid-19 manakala warga asing positif dirawat di pusat kuarantin di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).

Menurut Ismail Sabri, seramai 4,399 pendatang asing tanpa izin (PATI) di tiga DepoT Tahanan Imigresen (DTI) iaitu Bukit Jalil, Semenyih dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang telah disaring Covid-19 dengan 13 daripadanya belum mendapat keputusan kesihatan.

Tambah beliau, sehingga hari ini didapati 354 PATI di ketiga-tiga depot itu positif Covid-19 yang seterusnya dihantar ke pusat kuarantin di MAEPS.

“Ini melibatkan pecahan 305 PATI dari DTI Bukit Jalil, DTI Semenyih (45) dan DTI KLIA (4).

“Selain itu, seorang kakitangan Imigresen positif hasil saringan terhadap 353 pegawai dan anggota Imigresen termasuk yang berkaitan dengannya,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas