Berita

IMUNISASI: Labuan mampu menjadi manifestasi PPN, Annuar Musa

KEJAYAAN Labuan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) boleh dijadikan contoh kepada (petugas barisan hadapan) negeri-negeri lain untuk turut memperkasakan program vaksinasi. Gambar - The Star Federal Territories Minister Tan Sri Annuar Musa speaking on the National Recovery Plan for Federal Territories of Kuala Lumpur, Putrajaya and Labuan as well as the vaccination progress at all three FTs.
- Diterbit 27 Julai 2021 10:05 AM MYT

KEJAYAAN Wilayah Persekutuan Labuan mencapai sasaran 80 peratus vaksinasi ke atas penduduk dewasa boleh dijadikan satu manifestasi kepada pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata kejayaan Labuan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) boleh dijadikan contoh kepada (petugas barisan hadapan) negeri-negeri lain untuk turut memperkasakan program vaksinasi.

“Labuan pernah berada dalam keadaan sangat meruncing dengan lonjakan kes dan kadar jangkitan (R-Naught) tertinggi, dan hari ini saya amat berbangga dengan apa yang wilayah ini capai,” katanya ketika berucap secara dalam talian dari Putrajaya sebelum majlis suntikan vaksin lengkap kepada individu ke 54,780  di pusat pemberian vaksin (PPV) pandu lalu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), hari ini.

Annuar berkata kecekalan dan tidak mudah patah semangat ditunjukkan petugas-petugas barisan hadapan kesihatan dan bukan kesihatan, menjadi faktor utama Labuan berjaya mencapai sasaran vaksinasinya.

“Selain itu, apa yang boleh dipelajari dari Labuan adalah sikap sabar petugas barisan hadapan dalam menghadapi kes harian yang turun naik.

Jadi kalau kita tidak sabar dan kecewa, kemungkinan kita rasa nak putus asa, rasa macam dah habis ikhtiar, tetapi kita tahu apabila kita sabar selepas hadapi kesusahan, kita akhirnya capai kejayaan seperti apa yang telah dirancang,” katanya.

Annuar berkata kepentingan “istiqamah” juga harus dititikberatkan dalam pelaksanaan PPN.

Katanya, keyakinan dalam kalangan petugas barisan hadapan Labuan ketika mengendalikaan pandemik COVID-19 juga banyak membantu pulau bebas cukai ini mencapai sasaran vaksinasinya.

“Meskipun rancangan PPN sehingga Disember tahun ini, Labuan tunjukkan rekod kejayaan pelaksanaannya seawal bulan Julai, saya harap dapat dicontohi tempat-tempat lain.

Kita kena yakin dan jangan was-was dalam memerangi wabak COVID-19 dalam pelbagai cara dengan mempercepatkan vaksinasi, inilah yang ditunjukkan oleh ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan, dan akhir sekali, sikap syukur itu juga memudahkan lagi pengurusan pandemik di Labuan,” katanya.

Annuar berkata dengan kejayaan Labuan dalam program vaksinasinya selain penurunan ketara kes harian, wilayah persekutuan ini mampu beralih terus kepada fasa tiga PPN. -BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas