CKK

Ibu negara pilihan pelancong

- Diterbit 5 Januari 2024 3:10 PM MYT

TAHNIAH! Hebat bandar raya Kuala Lumpur. Selain terkenal sebagai ibu negara dan pusat ekonomi serta kewangan, ia­­ juga antara bandar raya menjadi tumpuan ramai pelancong dari seluruh dunia.

Menurut laporan, Kuala Lumpur menduduki tangga keenam sebagai bandar raya paling dikunjungi pelancong. Seramai 13.8 juta pelancong dari seluruh dunia dicatat melawat ibu negara sepanjang tahun 2023.

Dengan kedudukan ini, Kuala Lumpur mengatasi bandar raya hebat lain seperti New York, Seoul, Tokyo dan Istanbul. Menurut siaran di laman web Travelness, dapatan ini bersandarkan Indeks Bandar Destinasi Global hasil kajian oleh Mastercard.

Kawan-kawan Kedai Kopi tumpang gembira. Ia membuktikan ibu kota terkenal di negara luar sehingga ramai ingin datang berkunjung bagi menyaksikan bandar raya yang pesat membangun serta memiliki pelbagai tarikan pelancongan menarik.

Kajian Mastercard menyenaraikan bandar raya paling dilawati pelancong dengan mengambil kira jumlah ketibaan pelawat semalaman antarabangsa dan perbelanjaan rentas sempadan. Bangkok menduduki tangga pertama dengan kedatangan 22.78 juta pelancong.

Ini diikuti oleh Paris, London, Dubai dan Singapura, masing-masing dengan kedatangan 19.10 juta, 19.09 juta, 15.93 juta dan 14.67 juta pelancong.

New York, Istanbul dan Tokyo masing-masing menduduki tempat ketujuh, kelapan dan sembilan dengan jumah pelancong masing-masing 13.6 juta, 13.4 juta dan 12.93 juta orang.

Kehadiran pelancong bukan sahaja mempopularkan Kuala Lumpur dan mengangkat namanya di mata dunia tetapi menjadi sumber pendapatan negara. Semakin ramai pelancong, semakin banyak tukaran asing diperoleh. Ini membantu merancakkan ekonomi negara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas