Berita

Hubungan dua hala Algeria, Malaysia capai kemajuan ketara – Duta

- Diterbit 2 November 2022 6:00 AM MYT

HUBUNGAN dua hala Algeria dan Malaysia mencapai kemajuan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan usaha sedang dilakukan untuk meningkatkan kerjasama serta meneroka peluang pelaburan antara kedua-dua negara, kata Duta Algeria ke Malaysia Saad Maandi.

Maandi berkata terdapat potensi dalam bidang tenaga, lombong, industri, perdagangan, perusahaan kecil dan sederhana, pelancongan, perkhidmatan udara, pengangkutan maritim, perikanan dan akuakultur serta kerjasama dalam bidang pemodenan pentadbiran awam.

“Kami berhasrat untuk membangun dan memperkukuh lagi kerjasama dua hala dalam kedua-dua bidang ekonomi dan komersial…untuk menjadikan hubungan antara Algeria dan Malaysia lebih kukuh dan membuahkan hasil,” katanya dalam temu bual dengan Bernama.

Beliau berkata banyak draf perjanjian sedang dipertimbangkan antara Algiers dan Kuala Lumpur. Pemuktamadan dan pemeteraian perjanjian itu kelak akan merintis jalan kepada kerjasama dua hala untuk manfaat rakyat kedua-dua negara.

Sehubungan itu, Maandi menegaskan keperluan untuk mengaktifkan semula mekanisme perkongsian dua hala khususnya Suruhanjaya Bersama Malaysia Algeria.

Duta Algeria itu tutut menggalakkan penubuhan Majlis Perniagaan Malaysia Algeria yang pada hemat beliau boleh menyediakan rangka kerja yang sesuai kepada komuniti perniagaan kedua-dua negara untuk mengenal pasti dan meneroka peluang perdagangan serta pelaburan.

Undang-undang pelaburan baharu Algeria yang diluluskan kerajaan baru-baru ini bertujuan menarik pelabur asing dan memperbaiki iklim perniagaan, sudah tentu akan menggalakkan pelabur Malaysia mencari peluang pelaburan dan menjalankan perniagaan di Algeria, katanya.

Beliau berkata adalah penting untuk menggalakkan kedua-dua komuniti perniagaan dan pihak berkepentingan bertemu lebih kerap bagi mengenal pasti dan mengeksploitasi peluang perniagaan baharu serta mewujudkan perkongsian.

“Sudah tentu, pertukaran lawatan pegawai tinggi dan mesyuarat mekanisme sedia ada akan menyumbang kepada peningkatan perkongsian kami ke peringkat lebih tinggi,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas