Biz

Hospital Bersalin Dan Poliklinik Pusrawi MDC kini berwajah baharu

Dr Aslan Bacho (Kanan) bersama Menteri Pembangunan Wanita
- Diterbit 20 Mac 2022 8:50 AM MYT

MDC Asia Link Bhd (MDC Asia) yakin pelaksanaan pelan masa depannya untuk penyenaraian di Bursa Malaysia akan dapat dicapai dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Ketua Pegawai Eksekutif MDC Asia, Dr Aslan Bacho, berkata kumpulan kini menyasarkan untuk penyenaraian melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang 2024.

Beliau berkata, ia adalah berdasarkan kepada pembukaan hospital pertamanya di Kota Damansara yang lebih awal daripada jangkaan.

Ini katanya menjadikan pelan pengembangan kumpulan berada di landasan yang tepat.

“Langkah pertama ini membolehkan kumpulan untuk meneruskan agenda menubuhkan satu hospital pakar pergigian, empat hospital bersalin dan 99 rangkaian klinik pergigian serta perubatan menjelang 2025.

“Penubuhan itu akan dilaksanakan melalui pemilikan kepentingan majoriti atau penuh serta pembinaan hospital dan klinik baru.

“Kami juga percaya, langkah ini turut memberi impak kepada pembukaan pekerjaan terutamanya di dalam sektor perubatan pasca pandemik COVID-19 ini,” katanya selepas pembukaan Hospital Bersalin dan Poliklinik MDC Pusrawi Kota Damansara di sini hari ini.

KETUA Pegawai Eksekutif MDC Asia, Dr Aslan Bacho (Kanan) bersama Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Mengulas lanjut, Aslan berkata, Hospital Bersalin dan Poliklinik MDC Pusrawi Kota Damansara juga akan menjadi hospital yang menyediakan perkhidmatan komprehensif semua dalam satu.

Beliau berkata, ia melalui langkah kumpulan menyediakan perkhidmatan rawatan awal ketika hamil, khidmat bersalin dan pusat penjagaan ibu serta anak ketika dalam pantang.

Ini katanya menjadikan MDC Asia antara syarikat pertama yang terbabit dalam sektor kesihatan menyediakan perkhidmatan menyeluruh sebegitu di Malaysia.

“Perkhidmatan Hospital Bersalin dan Poliklinik MDC Pusrawi Kota Damansara akan dilaksanakan secara berperingkat dengan ketika ini untuk rawatan dan bersalin sebelum memulakan operasi pusat penjagaan ibu dan anak ketika dalam pantang pada suku kedua ini,” katanya.

Aslan berkata, berkonsepkan ‘Beyond Healthcare’ iaitu melangkaui dunia kesihatan, MDC Asia juga mempunyai visi ke arah menjadi “A Leading Halal Healthcare Solution Provider In Southeast Asia” iaitu sebagai peneraju Halal didalam perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan.

Beliau berkata, pembukaan semula Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi , Kota Damansara ini turut menjadi permulaan kepada langkah kumpulan untuk terus memperkukuhkan kehadiran di dalam sektor kesihatan Halal di Malaysia dan seluruh rantau ini.

“Langkah kumpulan mengambil alih dan memberi wajah baru kepada Hospital Bersalin dan Poliklinik Pusrawi , Kota Damansara ini adalah batu loncatan ke arah pembukaan lebih banyak hospital berkonsepkan Halal.

“Perancangan kumpulan memiliki hospital serta pelbagai perkhidmatan kesihatan lain adalah bagi memberikan orang ramai pilihan perubatan yang terbaik pada harga mampu
milik,” ujarnya lagi.

RINA Harun berharap Hospital Bersalin dan Poliklinik MDC Pusrawi Kota Damansara terus memberikan yang terbaik buat masyarakat.

Majlis pembukaan hospital ini dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Turut hadir Penasihat-penasihat MDC Asia Bhd yang juga usahawan wanita berjaya Malaysia, Datuk Faridah Hanim serta PaPakaryariah, Dr Zaharuddin Abd Rahman.

Menurut Rina, antara keistimewaan hospital ini adalah memberikan perkhidmatan yang halal dan patuh syariah kepada para pelanggan khususnya ibu-ibu yang mahu melahirkan.

“Saya amat tertarik dengan fokus ini. Perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan patuh syariah merangkumi pelbagai aspek antaranya penggunaan produk yang disahkan bersih dan selamat bagi memenuhi keperluan pesakit Islam berlandaskan tuntutan agama.

“Ini sekaligus dapat menghapuskan rasa was-was pengguna Islam dalam mendapatkan rawatan kesihatan,” katanya yang menyedari ramai wanita yang bakal bersalin di luar sana sering menyuarakan keresahan dan kebimbangan mereka semasa proses bersalin.

“Dengan kesedaran beragama yang semakin baik di kalangan Muslim Malaysia, maka isu aurat wanita semasa mendapatkan rawatan menjadi satu sensitiviti dan hak yang perlu diberi perhatian sama.

“Saya berharap Hospital Bersalin Pusrawi ini akan memberikan perkhidmatan patuh syariah yang terbaik supaya pelanggan dapat membuat pilihan

“Pada masa yang sama, saya di fahamkan pusat rawatan ini juga menawarkan sesi kaunseling bagi membolehkan para pelanggan mendapatkan khidmat nasihat berkaitan parenting, penjagaan sepanjang kehamilan, dan sebagainya mengikut lunas syariah,” ujarnya lagi yang menyarankan kaum berbilang kaum dan agama juga wajar mendapatkan rawatan di sini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas