Agama

Hikmah menerima jemputan dan menjadi tetamu Allah SWT

JEMAAH haji adalah tetamu Allah SWT. - Gambar hiasan
- Diterbit 30 Jun 2023 6:00 AM MYT

DR ZAWAWI ISMAIL

HAJI adalah ibadah yang menjadi rukun Islam. Rukun yang menjadi kewajipan ini disepakati oleh semua para ulama tanpa ada sebarang pertikaian dan berlakunya percanggahan pendapat bermula dari pensyariatan terakhir haji kepada baginda Nabi Muhammad SAW sehingga hari ini.

Hukum kewajipan haji diistinbat daripada Al-Quran, sunah dan ijma’ sekalian ulama tanpa dapat dinafikan lagi bahkan penafian kepada kefarduan yang wajib menjadi salah satu asbab kepada kekufuran setelah beriman.

Firman Allah SWT bermaksud: “Dan sempurnakan ibadah haji dan umrah kerana Allah.” (Surah Al Baqarah, ayat 196)

Pelaksanaan ibadah haji melibatkan penglibatan semua aspek bermula daripada aspek agama, pengurusan, ekonomi, pembangunan infrastruktur, perancangan bandar, psikologi, sosiologi, sains pemakanan, pengangkutan, komunikasi dan lain-lain aspek yang saling bergantung antara satu sama lain.

Ini menjelaskan bahawa pensyariatan ini adalah satu program besar agama yang melibatkan aspek yang dinyatakan pelbagai pihak dan negara dalam dunia moden ini.

Oleh yang demikian perbincangan bersifat intelektual berkaitan haji perlu disuburkan bukan hanya pada aspek hukum semata-mata tetapi perlu melebarkan horizonnya secara melebar dan mendalam.

Pelaksanaan ibadah haji kalau dilihat pada sudut pandang pendidikan moden membuktikan keunikan dan penggabungan prinsip pendidikan model yang sangat menarik untuk dibincangkan.

Ini bermakna pelaksanaan ibadah ini kalau dilihat dari sudut pandang pendidikan mengandungi penerapan falsafah dan nilai serta menjadi program lengkap pembangunan manusia.

Dari aspek tiga domain utama dalam pendidikan moden, pelaksanaan haji membentuk cakupan lengkap dan komprehensif.

Sementara daripada aspek afektif yang sering dibincangkan berkaitan emosi dan perasaan atau disebut sebagai seorang yang diberikan peluang menunaikan haji di domain atifiyyah sebenarnya juga mencakupi nilai dan penghayatan kontruktif yang mengaitkan penerimaan sesuatu prinsip dan pegangan.

Makkah Al-Mukarramah sering digelar Dhuyufurrahman atau tetamu Allah SWT atau tetamu yang dimuliakan Allah. Ia melibatkan penghayatan prinsip yang mendalam dan penerapan nilai mulia seseorang manusia.

Ada tiga sentap yang perlukan perhatian iaitu siapakah yang menjemputnya, kedudukan tetamu dan jemputan itu untuk apa?

Sebagai individu yang dijemput kita perlu menghayati bahawa pemergian kita dan perjalanan kita menunaikan haji atas jemputan Allah semata-mata bukan kerana berharta kerana ramai lagi yang berharta tidak dijemput, bukan kerana sihat kerana ramai lagi yang lebih sihat tidak dijemput, bukan kerana luang masa kerana ramai lagi yang lapang tetapi tidak dijemput dan bukan kerana sampai giliran kuota Tabung Haji kerana jelas ramai yang sampai giliran dan berada dalam senarai kuota tidak juga dapat hadir sebagai tetamu Allah.

Secara jelas seorang yang kakinya pada saat ini atau yang bakal memijak bumi Makkah perlu menghayati bahawa Allah SWT telah menjemputnya.

Jemputan itu berlaku dalam pelbagai cara dan kaedah sama ada dalam jangkaan atau di luar jangkauan kebijaksanaan manusia.

Ada yang mendapat jemputan kerana menjadi mahram bagi kakaknya atau ibunya, ada yang menjadi mahram kepada isterinya, ada yang dijemput dalam kapasiti sebagai petugas haji, ada yang dijemput dengan jemputan atau peruntukan Raja Salman sebagai penguasa dua Tanah Haram (Khadimul Haramain) dan lain-lain yang barangkali kalau disenaraikan maka ia semua menjuruskan kepada satu noktah utama iaitu ini adalah jemputan Allah SWT.

Cara bagaimana dan kenapa dijemput bukanlah menjadi fokus utama yang perlu disembangkan siang dan malam tetapi siapa yang menjemput perlu difikirkan secara realistik di bawah tema keimanan kepada Allah.

Kalau gelaran tetamu diberikan, maka tetamu pastinya akan terikat dengan tuan rumah atau yang menjemputnya. Tetamu perlu menjaga akhlaknya sebagai tetamu agar kemuliaan sebagai tetamu tidak dikotori.

Jemaah haji adalah tetamu Allah, maka wahai para jemaah haji terimalah status kita sebagai tetamu dan jagalah tutur kata kita, perbuatan dan akhlak kita sebagai tetamu.

Andainya kita menjadi tetamu pembesar, raja atau pemerintah sesebuah negara maka sudah pasti kita akan memastikan semua tingkah laku dan protokol dapat kita ikuti dengan terbaik.

Sesungguhnya bergelar tetamu Allah SWT adalah kebanggaan kita dan ia juga adalah kemuliaan kepada kita maka jagalah dan berakhlaklah kita dengan akhlak yang layak bagi tetamu Ilahi di bumi permulaan syariat akhir zaman.

Adakah kita rela dilihat sebagai tetamu kurang bijak yang tidak menyedari kemuliaan yang diberikan kepada kita atau kita mahu memperlihatkan diri kita sebagai tetamu sombong yang dimuliakan tuan rumah tetapi tanpa merasa segan dan malu melakukan perkara yang tidak disukai atau dimurkai.

Atau kita ingin menjadi tetamu lupa diri yang merasa mulia kerana hanya bergelar tetamu! Mulia kita bukan kerana bertamu tetapi mulianya kita kerana kemuliaan dan keagongan yang menjemput.

Sebagai penjelasan lanjut, kalau kita menjadi tetamu perompak, adakah ia memberikan kemuliaan kepada kita? Mulianya kita sebagai tetamu Yang Maha Esa bukan kerana kita mulia tetapi yang menjemput itu Allah.

Mulianya kita kerana Allah SWT Yang Maha Mulia menjemput kita. Mulianya kita kerana jemputan Allah bukan kerana kita terhormat maka Allah menjemput kita!

Renungilah dengan hati yang luhur dan tulus serta merefleksikan diri agar kita menghayati siapa kita dan apa yang kita ada.

Adakah kita dijemput untuk menjadi penderhaka yang tiap masa dan ketika melanggar Allah SWT yang menjemput atau kita mendabik dada bahawa kita adalah termulia, lupa pada kekerdilan dan status hamba yang telah kita miliki sejak alam roh lagi.

Jemputan ini bermatlamatkan kepada penghayatan jiwa seorang hamba yang penuh kelemahan dan kekerdilan yang datang untuk membuktikan pengabdian diri kepada Rabbul Jalil dalam masa yang sama merasai kehebatan dan pemurahnya Allah SWT kepada kita. Jemputan ini untuk membolehkan kita merasai pilihan dan kasih sayang-Nya kepada kita semua.

PENULIS merupakan Profesor Madya, Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas