Artikel

Hijrah daripada belenggu miskin mutlak

BERHIJRAH daripada kondisi keluarga miskin tegar kepada lebih stabil bukan sesuatu yang mudah.
- Diterbit 1 Disember 2023 2:15 AM MYT

Oleh: DR SAMSUL FARID SAMSUDDIN

BERDASARKAN statistik Bank Data Kemiskinan Nasional (eKasih), sejumlah 118,217 ketua isi rumah (KIR) miskin tegar telah direkodkan di seluruh negara. Ini disahkan daripada rekod pendaftaran di dalam sistem eKasih dan golongan ini diklasifikasikan sebagai golongan miskin dan miskin tegar. Turut direkodkan di dalam sistem ini, adalah peringkat umur mereka berada di antara 15 hingga 60 tahun.

Merujuk daripada data yang diperolehi, umur semuda 15 tahun telah diberikan status miskin dan miskin tegar. Ternyata golongan umur muda seperti ini mewarisi status kemiskinan daripada keluarga mereka sendiri. Sekiranya komuniti ini tidak ada inisiatif atau tidak dapat keluar daripada lingkungan miskin tegar, secara automatik generasi penyambung akan mewarisi status ini dan berlanjutan ke generasi seterusnya. Namun, di sebalik mewarisi status miskin tegar daripada ibu bapa, anak-anak muda ini seharusnya mempunyai keinginan untuk keluar daripada status miskin tegar. Mereka mempunyai pilihan sendiri sama ada ingin terus kekal ataupun berusaha untuk keluar daripada status kemiskinan.

Status miskin tegar dan miskin mutlak diukur menggunakan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK). PGK ini merujuk kepada jumlah pendapatan bulanan isi rumah yang diperlukan untuk memenuhi keperluan optimum minimum makanan dan bukan makanan bagi membolehkan setiap ahli isi rumah menjalani kehidupan yang sihat dan aktif. Definisi miskin tegar merujuk kepada nilai PGK pada tahun 2022 yang dinyatakan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin adalah kurang RM1,198 manakala miskin mutlak ialah pendapatan kurang daripada RM2,589. Ia berdasarkan survei pendapatan, perbelanjaan isi rumah dan kemudahan asas yang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) lima kali setahun.

Jumlah miskin tegar pada hari ini saban hari terus meningkat terutama sekali di kawasan-kawasan bandar, di mana taraf hidup mereka lebih tinggi berbanding di kawasan luar bandar. Komuniti miskin tegar bandar ini juga terpaksa menghadapi dan menanggung nilai perbelanjaan harian yang tinggi seperti kos tempat tinggal, kos makanan dan kos ke tempat kerja demi kelangsungan hidup mereka.

Sebagai contoh, untuk mereka keluar bekerja menggunakan motosikal pada setiap hari sekurang-kurangnya mereka memerlukan modal RM5 untuk mengisi minyak petrol dan RM20 untuk makan. Membawa jumlah keseluruhan modal harian sebanyak RM550 selama 22 hari bekerja dalam sebulan. Jika pendapatan bulanan yang diperolehi adalah RM1,200, ia hanya berbaki RM650 sahaja untuk perbelanjaan selebihnya seperti bayaran sewa rumah, bil telefon, Internet, elektrik, air dan keperluan peribadi yang lain. Belum dikira lagi perbelanjaan semasa hari tidak bekerja (Sabtu dan Ahad) atau keluar bercuti sekali sekala. Sekiranya pendapatan bulanan yang diperolehi tidak dirancang dengan baik, modal harian untuk ke tempat kerja pun tidak akan mencukupi. Ini akan menjejaskan kehadiran mereka ke tempat kerja yang tujuan utamanya adalah demi untuk mendapatkan gaji bulanan tersebut.

Signifikan dengan kenaikan harga barangan keperluan asas seperti beras, telur dan gula secara tidak langsung memerlukan setiap individu mempersiapkan diri mereka dengan ilmu dan kemahiran dalam pengurusan kewangan. Celik kewangan atau kini lebih dikenali sebagai literasi kewangan mampu membantu seseorang individu yang berstatus miskin tegar keluar daripada lingkungan miskin tegar. Sekiranya pada peringkat sekolah menengah pendedahan kepada literasi kewangan ini diterapkan kepada pelajar, mereka lebih bersedia untuk menghadapi dunia sebenar dalam merancang kewangan mereka pada masa akan datang. Nilai tambah yang boleh dibawa oleh pelajar ini juga mampu membantu keluarga mereka yang berstatus miskin tegar untuk merancang dengan lebih baik atau sekurang-kurangnya mempunyai kesedaran.

Untuk berhijrah daripada kondisi sebuah keluarga yang berstatus miskin tegar ini kepada status yang lebih stabil diakui bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, dengan pelbagai pilihan kerjaya yang ada pada masa kini dan pelbagai usaha serta langkah intervensi daripada pihak kerajaan yang telah dinyatakan, ia tidaklah mustahil. Dengan harapan, masyarakat lebih bersedia dan dilengkapi dengan sokongan asas yang kuat seterusnya dapat keluar daripada zon miskin tegar dan menyumbang kembali kepada masyarakat setempat.

Walau bagaimanapun, setiap inisiatif yang disediakan oleh kerajaan ini adalah merupakan peluang, ia tetap bergantung kepada pilihan dalam membuat keputusan. Pilihan kerjaya yang lebih baik ke arah kerjaya berpendapatan tinggi juga merupakan satu pilihan. Perbezaan motivasi diri yang kuat dalam keinginan untuk mencapai atau mendapatkan sesuatu yang boleh mengeluarkan golongan ini daripada status miskin tegar, menjadi faktor ukuran kejayaan transformasi sesebuah komuniti. Tetapi, sekiranya mereka berasa selesa dengan gaya hidup semasa iaitu dengan terus bergantung hidup kepada subsidi kerajaan dan ihsan sumbangan daripada masyarakat, kitaran hidup miskin tegar ini akan berterusan diwarisi dari generasi ke generasi.

Semuanya perlu bermula dari rumah, di mana peranan dan tanggungjawab ibu bapa perlu dimainkan dengan baik dan betul. Pentingnya kesedaran terhadap asas pendidikan awal di peringkat sekolah seperti kemahiran membaca, menulis dan mengira, kemahiran literasi maklumat dalam aspek kewangan juga penting kepada setiap individu kerana ia boleh membantu seseorang dalam membuat penilaian seterusnya membuat keputusan dengan lebih baik.

Selain itu, kemahiran bekerja seperti asas pengendalian komputer dan kemahiran teknikal berkaitan TVET juga akan menjamin kebolehpasaran dalam mendapatkan pekerjaan bagi generasi muda dalam keluarga miskin tegar.

Tidak lupa, aspek modal insan juga menjadi harapan untuk diterapkan kepada golongan ini pada peringkat awal lagi. Ia boleh membentuk peribadi individu yang berperibadi tinggi dan menjadi faktor dorongan untuk mengubah masa depan mereka sendiri ke tahap yang lebih baik.

PENULIS merupakan Timbalan Pengarah, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC), Universiti Malaya.

WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas