Berita

Helikopter lakukan pendaratan cemas ketika latihan menyelamat

- Diterbit 5 Mac 2024 7:43 PM MYT

SEBUAH pesawat helikopter AW 139 melakukan pendaratan cemas di Perairan Pulau Angsa, Selangor pada pukul lebih kurang 9:55 pagi tadi ketika melakukan latihan menyelamat.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata maklumat awal diterima menerusi panggilan MERS 999 oleh pemancing yang berada di sekitar lokasi kejadian.

Menurut Hamid, Operasi Mencari dan Menyelamat telah diaktifkan oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Maritime Rescue Coordination Centre (MRCC)
Putrajaya pada pukul 10:15 pagi tadi.

“Pesawat yang mendarat cemas diterbangkan oleh Leftenan Komander Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria, Leftenan Komander Mohamad Azrol Saidi bersama seorang kru udara Pegawai Waran I John Ibno dan seorang Perenang Penyelamat, Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim.

“Aset Maritim Malaysia yang diatur gerak ke lokasi kejadian ialah Bot Pengawal 25 dari Maritim Negeri Selangor, bot RH 16 dan PSC 39 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang dan sebuah pesawat AS 365 N3 Dauphine Maritim Malaysia dari Stesen Udara Maritim Subang (SUMS). Semua kru AW139 telah diselamatkan oleh pesawat AS 365 N3 dan telah diterbangkan ke SUMS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Hamid, sebelum itu, bot pemancing yang berada di lokasi berkenaan telah memberi bantuan awal kepada kru yang terbabit dan 10 anggota Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) dan KM Bagan Datuk juga diatur gerak ke lokasi bagi melakukan kawalan keselamatan di lokasi kejadian.

“Pihak Maritim Malaysia akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti punca-punca kejadian.

“Maritim Malaysia juga mengucapkan terima kasih atas maklumat dan tindakan pantas daripada komuniti maritim yang membantu operasi kejadian ini. Operasi telah ditamatkan oleh CAAM pada pukul 11:15 pagi sebentar tadi,” ujarnya. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas