Berita

Hari Wilayah Persekutuan 2023 disambut sederhana – Rosida

ROSIDA (tengah) mengibarkan bendera Wilayah Persekutuan selepas majlis Penyerahan Bendera Wilayah Persekutuan dan Bantuan Kasih Putrajaya pada Rabu.
- Diterbit 26 Januari 2023 2:10 AM MYT

SAMBUTAN Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) tahun ini akan berlangsung dalam keadaan sederhana dengan pengurangan perbelanjaan sebanyak kira-kira sepuluh kali ganda.

Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Rosida Jaafar berkata langkah itu selari dengan saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengekalkan kos pada tahap minimum.

Tanpa mendedahkan peruntukan untuk sambutan itu, Rosida menegaskan bahawa SHWP tetap disambut dengan meriah dengan format baharu berbanding kebiasaan sambutan terdahulu.

“Kami tidak menolak sambutan itu, cuma kami akan berbelanja dengan berhemah untuk memastikannya lebih rendah sepuluh kali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Program masih boleh dijalankan dengan kerjasama pihak swasta, komuniti dan sekolah.

“Pemberian bantuan pula akan tertumpu kepada kumpulan rentan dan B40,” katanya kepada pemberita selepas mengedarkan bendera Wilayah Persekutuan kepada penduduk dan wakil sekolah, serta menyampaikan bantuan makanan dan wang tunai kepada kira-kira 100 keluarga miskin di Kompleks Perbadanan Putrajaya di Presint 3 semalam

SHWP disambut pada 1 Febuari dan ia merupakan acara tahunan bagi Kementerian Wilayah Persekutuan sebelum ini untuk bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan untuk menganjurkan beberapa acara sepanjang bulan termasuk program ‘signature’, kenduri rakyat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas