Berita

Gabungan DPIM, NGO senergi baik salur bantuan banjir

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin (tengah) bergambar bersama sama wakil NGO, pada majlis penyerahan bantuan banjir di Shah Alam baru-baru ini.
- Diterbit 6 Januari 2022 7:42 AM MYT

DEWAN Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) cawangan Putrajaya mengambil inisiatif bergabung dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) di sekitar Selangor menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir di beberapa daerah termasuk Taman Sri Muda dan Kampung Labohan Dagang di sini, baru-baru ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Muhammad Khanafi berkata, idea tercetus apabila melihat situasi mangsa banjir yang memerlukan bantuan bagi meringankan beban demi kelangsungan hidup.

“Akibat bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Selangor, kami terpanggil untuk bersama-sama menyantuni mereka dengan menyerahkan beberapa peralatan dapur seperti periuk nasi elektrik, dapur gas dan makanan keperluan asas.

“Usaha gabungan ini adalah satu senergi yang baik untuk kita sama-sama membantu dan sekaligus menjayakan aktiviti kebajikan sosial DPIM kepada masyarakat yang sedang berhadapan dengan situasi sukar ketika ini,” katanya.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin (tengah) bergambar bersama sama wakil NGO, pada majlis penyerahan bantuan banjir di Shah Alam baru-baru ini.

Khanafi berkata walaupun sumbangan tidak dapat diserahkan secara langsung kepada mangsa banjir, DPIM berharap keprihatinan tersebut dapat mengeratkan lagi tali persaudaraan dalam kalangan masyarakat.

“Usaha ini juga diharap mampu menyuntik motivasi kepada rakan-rakan lain untuk sama-sama menyumbang kepada golongan yang memerlukan.

“DPIM sendiri akan meneruskan usaha sebegini mengikut keperluan semasa dan kemampuan tabungan melalui kempen-kempen yang kami gerakkan sama ada melalui bantuan barangan atau kewangan.

“Paling utama sumbangan sampai terus kepada penerima selayaknya dan bermanfaat kepada mereka,” ujarnya.

PENGERUSI DPIM Putrajaya, Datuk Seri Muhammad Khanafi Husin sentiasa prihatin terhadap masyarakat.

Khanafi berkata demikian dalam ucapan di majlis penyerahan sumbangan di Restoran Kak Anie Shellrock, Tasik Shah Alam yang juga merupakan salah satu NGO yang terlibat.

Hadir sama wakil daripada NGO dan syarikat yang bersama-sama berganding bahu mengumpul dana serta barangan untuk diserahkan kepada mangsa banjir, antaranya Restoran Kak Anie Shellrock, Anggerik Care, Zawaf Uitm dan Istiqomah Holidays Sdn Bhd.

Di majlis yang sama, Istiqomah Holidays Sdn Bhd,sebuah syarikat penerbitan al-Quran terjemahan memperkenalkan program satu keluarga senaskah al-Quran.

Sempena penyampaian sumbangan, orang ramai dialu-alukan untuk bersama-sama menyumbang dengan membeli al-Quran seterusnya mewakafkan kepada mangsa banjiir.

Menurut Pengarah Urusannya, Abdul Ahad Sabaruddin, keperluan fizikal telah banyak disalurkan namun mangsa banjir juga memerlukan makanan jiwa iaitu melalui bacaan ayat suci al-Quran.

“Wakaf al-Quran berserta terjemahan yang diperkenalkan pada hari ini diharap mendapat sokongan daripada orang ramai yang berminat untuk sama-sama menyumbang wakaf kepada mereka yang terjejas akibat banjir,”ujarnya.

Sementara itu, Anggerik Care, sebuah lagi NGO yang terlibat telah menggerakkan usaha membantu mangsa banjir sejak awal lagi apabila beberapa daerah di sekitar Shah Alam ditenggelami air.

Menurut wakilnya, Dr. Najahudin Lateh pihaknya sentiasa menyokong apa sahaja usaha yang dilakukan untuk meringankan masalah rakyat. Bahkan mereka telah menjalankan beberapa siri fasa bantuan.

“Di peringkat awal dahulu, kami menyalurkan makanan nasi bungkus dan roti, diikuti dengan fasa ke dua bantuan keperluan asas makanan seperti beras, tepung dan gula.

“Fasa ketiga kami serahkan 200 unit dapur gas dan untuk seterusnya kami bergabung untuk menyampaikan 80 periuk nasi elektrik.

“Kami sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu menjalin kerjasama pada masa akan datang,” ujarnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas