Berita

FTA, perkongsian strategik boleh tingkat hubungan Korea Selatan-Malaysia ke tahap lebih tinggi – Duta

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 27 Disember 2023 10:40 AM MYT

SELAMA 40 tahun, Dasar Pandang Ke Timur (LEP) yang dimulakan oleh Malaysia pada tahun 1983 terus menyaksikan perkongsian kemakmuran, inovasi teknologi dan pertukaran budaya bukan sahaja dengan Jepun, tetapi juga dengan Korea Selatan.

Duta Besar Korea Selatan ke Malaysia Yeo Seung Bae memberitahu Perkhidmatan Berita Antarabangsa Bernama, adalah penting untuk diingatkan bahawa LEP masih relevan untuk generasi akan datang pemimpin dan rakyat, baik di Malaysia atau Korea Selatan.

Hubungan Malaysia dengan Korea Selatan yang mencapai tahun ke-63 pada tahun 2023, menyaksikan tahap kerancakan baharu yang sudah pasti boleh dipertingkatkan lagi melalui dua haluan – peningkatan hubungan dengan Perkongsian Strategik dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dua hala.

Dengan pertukaran diplomatik peringkat tinggi yang dijadualkan pada tahun depan, Yeo berharap kedua-dua matlamat itu dapat dicapai secepat mungkin.

“Saya telah menyebut dalam pelbagai kesempatan sepanjang tahun ini bahawa LEP perlu dinaiktaraf kepada Dasar Pandang Ke Timur Semula (LEAP) baharu untuk 40 tahun akan datang. LEAP menunjukkan hasrat untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi.

“Jika LEP yang lepas membawa kepada kerjasama dalam sektor ekonomi dan industri antara Korea Selatan dan Malaysia, cabaran dan peluang abad ke-21 memerlukan peningkatan dalam hubungan kita – satu Perkongsian Strategik.

“Perbincangan berada di peringkat akhir untuk merangka Kenyataan Bersama mengenainya dan pengumuman rasmi dijangka dibuat tahun depan. Melalui penubuhan Perkongsian Strategik, kedua-dua negara akan secara aktif mempromosikan komunikasi dan kerjasama dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau,” katanya.

Yeo berkata demikian dalam temu bual eksklusif baru-baru ini apabila ditanya mengenai sambutan sepanjang tahun yang merangkumi pelbagai acara peringatan sempena sambutan ulang tahun ke-40 LEP yang dianjurkan oleh kedutaan, mencerminkan pencapaian dan status semasa hubungan dua hala.

LEP yang disifatkan beliau sebagai penggerak kuat di sebalik pembangunan kerjasama ekonomi antara kedua-dua negara, kini telah berkembang menjadi kerjasama industri dan baru-baru ini dipelbagaikan dengan bidang baharu seperti tenaga hijau, teknologi digital dan juga budaya.

“LEP bukan sahaja mengenai ikatan di peringkat kebangsaan, tetapi ia juga menghubungkan rakyat dengan rakyat melalui aktiviti komuniti Korea Selatan di Malaysia,” katanya.

Yeo seterusnya menyatakan LEP menyaksikan lebih 420 syarikat-syarikat Korea Selatan, termasuk Samsung, SK, Lotte, POSCO, Hanwha, CJ Group dan OCI Company Ltd menyumbang kepada pembangunan ekonomi Malaysia, dengan Korea Selatan menjadi rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dan rakan kongsi pelaburan ketujuh terbesar.

KESAN LIMPAHAN

Khususnya mengenai FTA, Yeo menegaskan bahawa pelaksanaannya boleh membawa kesan limpahan lain dalam sektor ekonomi dan beliau positif mengenai kemajuan rundingan yang telah dibuat setakat ini.

Duta itu berkongsi bahawa walaupun mempunyai persekitaran yang sangat menarik untuk pelaburan asing, Malaysia secara relatifnya dinilai kurang dan kurang dikenali oleh syarikat-syarikat Korea Selatan berbanding Indonesia dan Vietnam.

“Bagaimanapun, dalam tinjauan yang dijalankan pada 2023 yang menyasarkan syarikat-syarikat kami yang beroperasi di Malaysia, syarikat-syarikat ini memberikan skor lebih lapan mata daripada 10 kepada persekitaran pelaburan Malaysia, dengan lebih 36 peratus menyatakan hasrat untuk pelaburan baharu atau meningkatkan pelaburan,” katanya.

Justeru untuk menggalakkan lebih banyak kerjasama dan pelaburan antara kedua-dua negara, usaha diperlukan untuk merapatkan jurang persepsi dalam kalangan syarikat-syarikat ini.

“Pendekatan paling berkesan dipercayai adalah meneruskan semula rundingan FTA dua hala, yang dihentikan pada 2019.

“FTA bukan sahaja akan mengurangkan tarif tetapi juga menyediakan platform kerjasama ekonomi yang stabil untuk perniagaan di kedua-dua negara dan membuka peluang baharu. Khususnya, ia boleh menghantar isyarat jelas kepada syarikat-syarikat Korea Selatan bahawa Malaysia adalah destinasi pelaburan yang boleh dipercayai dan menjanjikan.

“Untunglah, kedua-dua kerajaan menyedari kepentingan meneruskan semula rundingan FTA dua hala dan kini dalam perbincangan. Penyambungan semula rundingan dengan cepat amat dinanti-nantikan,” kata Yeo.

Korea Selatan, yang sudah memiliki FTA berasingan dengan blok serantau ASEAN, masih belum memuktamadkan FTA dengan Malaysia sejak kedua-dua negara memulakan rundingan dua hala pada 2019.

Menurut kedutaan Korea Selatan di Malaysia, jumlah perdagangan dua hala bagi 2022 mencecah AS$26.7 bilion.

Sehingga Nov 2023, angka yang direkodkan berjumlah US$22.7 bilion, angka yang jauh lebih tinggi daripada kira-kira US$2.83 juta yang dicatatkan pada 1965.

Malaysia merupakan rakan dagang ketiga terbesar Korea Selatan di Asia Tenggara.

KERJASAMA PERTAHANAN YANG KUKUH

Sementara itu, mempercayai potensi tinggi kerjasama industri pertahanan antara kedua-dua negara, Yeo menekankan beliau mahu membina perkongsian pertahanan yang utuh di semua dimensi – darat, laut dan udara, terutamanya semasa berkhidmat di sini.

Menghargai keputusan kerajaan Malaysia memilih FA-50, pesawat tempur ringan buatan Korea Selatan sebagai aset ketenteraan strategiknya, negara itu komited untuk memperluas kerjasama melangkaui jualan pesawat itu.

“Memandangkan Malaysia memiliki infrastruktur industri yang canggih, terdapat potensi besar untuk kerjasama dalam sektor pertahanan, yang merupakan hubungan teknologi, strategi dan pengurusan sumber.

“Kerjasama maritim khususnya boleh memberi manfaat besar kepada hubungan dan menggalakkan pembangunan Malaysia.

“Pemindahan teknologi dan pengetahuan dari Korea Selatan akan menyumbang kepada peningkatan keupayaan pengeluaran tempatan dan memberi impak kepada ekonomi dan industri Malaysia secara keseluruhan. Saya amat percaya perkongsian yang lebih meluas dan mendalam dalam sektor ini akan menyusul,” katanya.

Pada Februari lepas, Malaysia memilih pesawat tempur ringan FA-50 Korea Selatan seperti yang diumumkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).

Syarikat Korea Selatan itu berkata kontrak bernilai US$920 juta itu akan melibatkan penghantaran sebanyak 18 jet FA-50, dengan penghantaran pertama dijangka pada tahun 2026. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas