Selebriti

Fitnah hari ini lebih dahsyat – Iesya Toh

- Diterbit 1 Disember 2023 1:40 AM MYT

PENGGUNAAN media sosial seperti Facebook, Instagram, TikTok dan seumpamanya sudah menjadi trend atau gaya hidup masyarakat hari ini. Celik mata, terus mencari peranti untuk menonton klip video dan sebagainya. Ini menunjukkan kuatnya pengaruh media sosial.

Namun, apa yang membimbangkan, media sosial yang sepatutnya digunakan untuk kebaikan bertukar menjadi medan menyebarkan fitnah.

Mengakui hal tersebut, pengacara, Iesya Toh yang juga aktif berkongsi maklumat dalam media sosialnya turut menyuarakan rasa kecewa dengan amalan fitnah segelintir masyarakat hari ini.

“Fitnah ini dari zaman Nabi dah ada. Cuma zaman sekarang, cara fitnah terlalu advance ke tahap yang membimbangkan. Mudah sahaja, at the end of the day, kitalah yang memilih pengakhiran kita. Jadi kalau takut dosa, janganlah buat fitnah. Ingat, azab di akhirat nanti amatlah dahsyat.

“Bagi saya senang sahaja. Sebelum menulis dalam media sosial, ingatlah Allah Maha Melihat. Meskipun orang yang difitnah tidak tahu siapa yang mencipta fitnah itu, jangan ingat terlepas dari azab.

“Namun, kalau kita berkongsi perkara yang benar, teruskanlah. Kadang-kadang orang tak nak terima perkara yang benar kerana yang betul selalunya pahit. Biarlah mereka. Sekurang-kurangnya kita tidak mencipta fitnah yang boleh menghancurkan keharmonian masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, bekas pengacara Selamat Pagi Malaysia itu mendapat pujian ramai apabila sering berkongsi perkara daripada sumber yang sahih malah dia turut dijadikan rujukan dan kaunter pertanyaan berkaitan isu semasa yang dikongsinya.

“Bukan saja-saja tanpa sebab. Saya hanya kongsi isu-isu yang berkaitan dengan pemimpin dan masyarakat. Sebagai bekas pengacara dari tahun 2004 hingga 2017, saya mempunyai hubungan baik dengan ramai pemimpin tanpa mengira parti politik.
“Jadi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dulu, saya buat keputusan untuk jadikan media sosial sebagai tempat aduan rakyat. Kalau ada masalah, saya cuba sebaik mungkin untuk sampaikan kepada pihak berwajib. Ada masa saya jumpa mereka di Parlimen untuk suarakan isu-isu tertentu. Cepat mereka respons. Alhamdulilah,” jelasnya.

Iesya akui berpuas hati apabila dapat menyampaikan suara rakyat yang kadang-kadang tidak didengari oleh pihak berwajib.

“Saya rasa puas apabila dapat selesaikan masalah mereka. Saya faham, ada kalanya suara mereka tidak sampai kepada menteri. Jadi, saya yang mempunyai hubungan baik dengan mereka, bolehlah gunakan kelebihan ini untuk kebaikan rakyat juga,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas