Berita

FitMalaysia 2020 Edisi KL ditangguhkan

- Diterbit 4 Mac 2020 12:34 PM MYT

KUALA LUMPUR – Program FitMalaysia 2020 Edisi Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil pada Sabtu ini ditangguhkan.

Perkembangan berkenaan dimaklumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

“KBS mengambil keputusan menangguhkan Program FitMalaysia 2020 Edisi Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini bertempat di Kuala Lumpur Sports City, Bukit Jalil pada 7 Mac 2020 (Sabtu).

“Program FitMalaysia adalah program yang disertai dan sentiasa mendapat sambutan daripada pelbagai peringkat umur terutamanya belia
dan kanak-kanak.

“Sebarang pengumuman berkenaan pelaksanaan Program FitMalaysia
2020 Edisi Kuala Lumpur pada masa yang akan datang akan dimaklumkan kemudian,” kata kenyataan dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat KBS hari ini.

Menerusi kenyataan sama, KBS turut mengucapkan terima kasih kepada
lebih 23,000 peserta yang sudah mendaftar bagi menyertai program FitMalaysia 2020 Edisi Kuala Lumpur, selain memohon maaf atas segala kesulitan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas