Selebriti

Dolla ‘Blackpink Malaysia’ angkat martabat wanita, lawan penindasan

DOLLA angkat martabat wanita menerusi Berani.
- Diterbit 1 Oktober 2021 3:53 AM MYT

RAMAI memuji melodi dan mesej yang disampaikan menerusi lagu Berani nyanyian kumpulan Dolla.

Kumpulan yang mendapat jolokan ‘Blackpink Malaysia’ ini berkata, lagu Berani mengisahkan tentang pemerkasaan wanita melalui sistem sokongan.

“Lagu Berani ini ditujukan kepada wanita dan mahu mengangkat martabat kaum hawa menerusi semangat juang dengan bangkit melawan penindasan dan ketakutan.

“Pada zaman ini, seseorang wanita perlu keluar daripada segala ketakutan dan menggantikannya dengan semangat berani serta menunjukkan kepada dunia bahawa dia tidak takut, dia berani dan berdikari. Wanita perlu berani.

“Jadi, jelas tema yang ingin disampaikan dan diketengahkan menerusi lagu ini adalah semangat dan membangkitkan keberanian dalam diri wanita.

“Bukan apa, hari ini masih ramai wanita yang takut untuk berubah kerana berasakan diri mereka lemah. Disebabkan itu, wanita perlu sentiasa ada sokongan yang kuat dari orang sekeliling,” kata salah seorang anggota Dolla iaitu Sabronzo.

Menurut Sabronzo lagi, tema yang diketengahkan dalam lagu Berani itu ditujukan khas buat peminat setia mereka yang sudah banyak memberikan sokongan dari awal kemunculan Dolla.

“Jadi apa yang membuatkan lagu ini istimewa adalah Dolla menjadikan Berani ini sebagai lagu dedikasi buat seluruh peminat kami yang digelar iDolla.

“Mereka setia memberikan sokongan dan sentiasa berada bersama kami. Itu sudah cukup memberikan motivasi dan inspirasi kepada kami untuk terus berjaya dan memberikan yang terbaik dalam bidang muzik ini.

“Jadi, harapan Dolla adalah semoga iDolla dan peminat muzik tempatan boleh menghargai lagu Berani ini dan hayati mesejnya agar kita semua terus bangkit memajukan diri setelah ‘jatuh’ ketika pandemik COVID-19,” jelas Sabronzo yang mahukan wanita kembali bersemangat menjalani kehidupan yang penuh cabaran ini.

Berkongsi lanjut mengenai video muzik Berani yang diarahkan oleh Thaqif Saadon itu, Sabronzo berkata terdapat beberapa faktor yang menjadikan video muzik berkenaan lain daripada yang lain.

“Pertama adalah penggunaan medium animasi dalam menggambarkan Dolla dalam suatu alam yang berbeza. Dengan masa yang diberikan, kami sepenuh tenaga mengumpulkan segala kudrat untuk menghasilkan video muzik yang kami percaya akan mengangkat martabat karya berkonsepkan animasi ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Dari segi teknikal juga, kami mengaplikasikan beberapa teknik baharu agar membolehkan penyampaian dari imaginasi kami ke dalam bentuk video.

“Perkara itu adalah pengunaan Projeksi 2D ke atas bahan 3D membolehkan kami melakukan adegan dan juga animasi yang kami tidak boleh buat sebelum ini.

“Dari segi penyampaian cerita juga, kami cuba yang terbaik untuk menyampaikan suatu cerita fantasi yang bergantung kepada penonton untuk huraikan dan impretasikan diri mereka sendiri,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas