Berita

DAP mahu syor Tun Mahathir kekal Perdana Menteri

- Diterbit 24 Februari 2020 9:38 AM MYT

KUALA LUMPUR – DAP berhasrat untuk mengesyorkan kepada Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang akan mengadakan mesyuarat tergempar pada malam ini untuk mencalonkan Tun Dr. Mahathir Mohamad terus kekal sebagai Perdana Menteri.

Setiausaha Agung, Lim Guan Eng berkata, langkah itu supaya PH dapat terus memenuhi dan menyampaikan janji-janji dalam Manifesto Pilihan Raya Pakatan Harapan.

“DAP mengutuk perbuatan khianat beberapa pemimpin dan ahli Parlimen PH yang telah mencuba untuk menubuhkan sebuah kerajaan melalui pintu belakang untuk menggantikan kerajaan sedia ada yang telah dipilih secara demokratik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Guan Eng berkata, manipulasi politik ini telah menjejaskan usaha kerajaan untuk menangani isu ekonomi dan kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat biasa dan perniagaan.

Guan Eng berkata, dalam menentang cubaan khianat untuk menafikan mandat yang telah diberikan rakyat kepada PH ini, Dr. Mahathir telah mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu.

“Saya telah melawat Tun Dr. Mahathir pagi ini di kediaman beliau dan terkejut apabila beliau menyatakan hasrat untuk meletakkan jawatan.

“Tun Dr. Mahathir telah menyatakan dengan jelas bahawa beliau tidak boleh bekerja dengan UMNO apabila kita telah bertungkus lumus untuk menolak UMNO dengan jayanya dalam Pilihan Raya Umum 2018,” katanya.

Guan Eng berkata, DAP ingin memuji pegangan berprinsip Dr. Mahathir menolak kerjasama dengan UMNO yang di mana pemimpin mereka terbabit dengan amalan rasuah yang telah menyebabkan Malaysia dilabelkan sebagai “kleptokrasi global yang terburuk”.

“Perlu dinyatakan bahawa ini adalah kali pertama seorang Perdana Menteri Malaysia bersedia untuk meletakkan jawatan atas prinsip untuk menegakkan integriti dan melawan rasuah.

“Kedudukan berprinsip dan juga konsisten dalam menolak UMNO yang korup ini haruslah disokong oleh semua rakyat Malaysia,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas