Berita

Dana Aman Palestin tidak boleh dikeluarkan sehingga siasatan selesai

AZAM Baki
- Diterbit 1 Disember 2023 3:09 AM MYT

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan dana Aman Palestin Berhad yang kini dibekukan tidak boleh dikeluarkan sehingga selesai siasatan.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, SPRM memandang serius kes tersebut kerana ia membabitkan kepentingan awam.

Kata beliau, siasatan itu bagi memastikan dana diperoleh hasil derma awam yang bernilai jutaan ringgit ini digunakan dengan telus.

“Sebagai badan penguatkuasaan antirasuah utama, SPRM memandang serius kes ini kerana ia adalah kepentingan awam.

“Ia berkemungkinan akan menjadi contoh bagaimana derma awam boleh dan tidak boleh digunakan. Kes ini juga menunjukkan bahawa derma daripada orang awam tidak boleh digunakan demi kepentingan individu tertentu.

“Berhubung isu gesaan Tun Dr. Mahathir Mohamad, SPRM tidak boleh begitu sahaja mengeluarkan dana itu sehingga semua siasatan selesai, termasuklah penjelasan diperolehi berhubung penggunaan terhadap derma awam berjumlah jutaan ringgit,” katanya hari ini.

Semalam, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir menggesa, SPRM untuk membenarkan Aman Palestin Berhad menggunakan RM10 juta daripada akaun yang dibekukan untuk membantu penduduk di Gaza.

Beliau bimbang penderitaan penduduk akan bertambah menjelang musim sejuk, selepas berdepan serangan dan kekejaman Israel.

Terdahulu, SPRM mengesahkan membeku sebanyak 41 akaun bank syarikat pertubuhan Aman Palestin bernilai RM15,868,762.

Pembekuan itu dilakukan selepas SPRM menjalankan siasatan terhadap dakwaan Aman Palestin menyalahgunakan wang sumbangan orang ramai. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas