Berita

‘Dakwah santai lebih berkesan’ – Yana Samsudin

Yana Samsudin
YANA berdepan cabaran dalam menyebarkan dakwah.
- Diterbit 15 September 2019 7:04 AM MYT

SEBAGAI seorang selebriti yang sering menjadi tumpuan, pelakon Yana Samsudin percaya pembawaan diri amatlah penting agar sentiasa dihormati.

Berpegang teguh kepada perkara tersebut, dia mahu menjadi contoh kepada orang lain dengan mempamerkan akhlak serta adab yang baik di mana-mana sahaja berada.

Lantas secara tidak langsung, hal tersebut juga mampu mendidik dirinya sendiri untuk sering berbuat perkara-perkara yang mendorong ke arah kebaikan.

Di zaman yang serba mencabar ini, golongan muda lebih mudah terikut-ikut perkara yang tidak baik berbanding sebaliknya. Itu yang membuatkannya terpanggil untuk mendidik golongan ini secara tidak formal.

“Saya bukanlah seorang pendakwah tetapi berbesar hati andainya sisi baik yang ditonjolkan dapat diikuti. Sebagai contoh, saya cuba sedaya upaya menjaga pergaulan dan tidak bersalaman dengan mereka bukan muhrim dan menjaga penampilan dengan berstoking.

“Sungguhpun ia adalah lebih kepada tuntutan untuk diri sendiri namun saya yakin sedikit sebanyak mampu menarik perhatian perempuan di luar untuk mengelakkan diri mereka daripada hal-hal yang tidak baik,” ujarnya kepada WK2.

Mengakui dirinya bukanlah seorang yang hebat untuk membentuk keperibadian orang lain, pelakon kelahiran Yong Peng, Johor ini enggan melepaskan peluangnya untuk berdakwah secara santai.

“Berdakwah ada bermacam-macam cara. Sebagai penerbit, saya gemar berdakwah melalui karya. Melaluinya kita bebas untuk meyampaikan mesej kepada penonton.

“Contohnya, saya baru sahaja menghasilkan telemovie Islamik berjudul Demi Tuhan Aku Bersaksi, berkisar tentang kisah mak nyah yang ditayangkan pada awal September lalu,” ujarnya.

Sungguhpun berdepan dengan pelbagai cemuhan apabila sebahagian netizen melihat ia memberi pandangan negatif khususnya terhadap agama Islam, namun penerbit ini tidak mudah melatah.

Kritikan demi kritikan membuatkannya lali malah selaku penerbit telefilem tersebut bersama suami, Fadzil Zahari, aktres ini yakin nilai pengajaran drama berkenaan jauh lebih dominan daripada apa yang disangkakan.

“Setiap karya perlu ada moral yang tinggi untuk kita terapkan. Jadi bagi saya isi penyampaian itu lebih utama. Jika dilihat sumbangan saya sebelum ini dalam lakonan juga semua karakter yang dilakonkan punya moral dan pengajaran,” ujar bintang Adnan Sempit ini lagi.

Perlu kreatif

Mengulas tentang hala tuju industri seni lakonan tanah air, pengacara program CJ Wow Shop ini melihat industri hari ini lebih memandang kepada individu yang mempunyai konten menarik pada diri.

“Sebagai contoh mereka yang mempunyai pengikut yang ramai di laman sosial, biarpun tidak berapa pandai berlakon namun penonton tetap mahu melihat lakonan mereka kerana pengaruh tersebut.

“Tambahan pula kebanyakan stesen televisyen hari ini menetapkan syarat untuk melihat jumlah pengikut di Instagram terlebih dahulu sebelum dipilih berlakon.

“Hal ini kerana pelakon baharu yang popular di laman sosial amat membantu produksi itu sendiri dari segi pemasaran filem mahupun drama,” ujarnya.

Justeru itu, katanya lagi, untuk bersaing dalam industri kini, setiap individu perlu kreatif untuk menjenamakan diri sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak kerana dunia lakonan hari ini sudah jauh berkembang bukan seperti dahulu.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas