Berita

Tidak benar dakwaan Annuar langgar arahan kuarantin

||
- Diterbit 2 Oktober 2020 4:26 AM MYT

DAKWAAN bahawa Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa diberi pengecualian kuarantin 14 hari atau melanggar arahan kuarantin 14 hari adalah tidak benar dan berniat jahat.

Malah, tindakan itu dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mengelirukan orang ramai atau keliru mengenai arahan kuarantin yang dikeluarkan kerajaan.

Sebaliknya,Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Annuar telah secara sukarela meminta dirinya menjalani ujian COVID-19 dan dikuarantinkan kerana sedar arahan itu adalah untuk melindungi diri dan keluarganya serta orang di sekelilingnya.

“Malah pegawai-pegawainya juga diarahkan membuat ujian wabak tersebut dan menjalani kuarantin secara sukarela demi melindungi diri dan pihak lain.

“Saya sendiri telah melakukan ujian saringan COVID-19 ini sebanyak lapan kali, termasuk dua secara sukarela yang mana salah satunya di hospital swasta,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Tun Faisal, beliau dimaklumkan Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa terdapat dua kategori berbeza dalam isu kuarantin.

“Pertama, arahan kuarantin 14 hari disebabkan ada kontak langsung atau berada berhampiran dengan individu positif COVID-19. Saya difahamkan bagi ketegori ini, ada juga kes di mana KKM memberi perlepasan dari arahan kuarantin sekiranya ujian saringan kedua yang dibuat pada hari ke-10 menunjukkan keputusan negatif.

“Kategori kedua pula adalah arahan kuarantin 14 hari bagi mereka yang pulang dari Sabah mulai 27 September di mana mereka perlu melalui ujian saringan Covid19 di lapangan terbang.

“Bagi kategori kedua ini, dimaklumkan bahawa mereka tidak perlu menjalani ujian saringan di lapangan terbang dan dibebaskan dari arahan kuarantin 14 hari sekiranya mereka membuat ujian COVID-19 di Sabah tiga hari sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur dan menerima keputusan negatif,” jelasnya.

Sehubungan itu, Tun Faisal sekali lagi menegaskan bahawa dakwaan Annuar tidak mematuhi arahan kuarantin 14 hari akibat ada kontak rapat atau langsung dengan Datuk Razlan Rafii yang didapati positif COVID-19 adalah tidak benar.

Jelasnya, arahan kuarantin 14 hari disebabkan kontak rapat dikira bermula pada tarikh beliau direkodkan berada bersama Datuk Razlan iaitu pada 12 September, bukan bermula 24 September seperti yang didakwa.

Ujarnya, kiraan 14 hari bermula pada tarikh 24 September menunjukkan pihak yang membuat dakwaan ini tidak faham dan keliru mengenai arahan kuarantin KKM.

“24 September adalah tarikh arahan kuarantin dan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP), Tan Sri Annuar perlu melalui ujian saringan COVID-19 pada tarikh tersebut walaupun beliau telah melakukan ujian saringan yang sama pada 20 dan 23 September. Malah keputusan kedua-dua ujian tersebut adalah negatif.

“Kiraan 14 hari sepatutnya dibuat bermula 12 September. Maka hari terakhir kuarantin adalah pada 25 September, bukan 7 Oktober. Atas sebab ini, selepas mendapat keputusan negatif ujian saringan dari Jesselton Medical Centre (JMC), Pejabat Kesihatan Kawasan Kota Kinabalu, KKM telah memberi Annuar pelepasan dari arahan kuarantin pada tengahari 26 September, iaitu pada tarikh hari pengundian PRN Sabah.

“Manakala arahan dalam kategori kedua tidak dilaksanakan ke atas beliau kerana ujian COVID-19 telah dibuat tiga hari sebelum pulang dari Sabah. Pengecualian ini diberikan sendiri oleh doktor yang bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas melihat salinan keputusan negatif ujian dari JMC.

“Disebabkan itu Annuar tidak dipakaikan gelang berwarna merah jambu sekembali beliau dari Sabah,” jelasnya lanjut.

Dalam pada itu, Tun Faisal memaklumkan, doktor yang sama tidak membenarkan pengawal peribadi Annuar dikecualikan dari melakukan ujian saringan COVID-19, arahan kuarantin 14 hari dan pemakaian gelang merah jambu kerana rekod terakhir ujian saringan ke atas pengawal tersebut dilakukan empat hari (hanya perbezaan satu hari berbanding Tan Sri) sebelum pulang ke Kuala Lumpur.

Tambah beliau, kesemua perkara itu disaksikan olehnya dan empat orang pegawai kesihatan KKM yang lain dan pada waktu sama, pegawai-pegawai Pejabat Menteri yang lain mesti melakukan ujian saringan COVID-19 selain perlu menandatangani surat arahan kuarantin 14 hari serta dipakaikan gelang tangan merah jambu.

“Tidak wajar menuduh kerajaan bertindak sambil lewa dan bersikap memilih bulu dalam hal memerangi COVID-19. Tidak wajar juga menuduh Tan Sri Annuar melanggar peraturan KKM kerana beliau sentiasa merujuk KKM dan mengikut nasihat mereka dalam hal berkaitan perintah kuarantin ini,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas