Artikel

Cukai petak beri keadilan

LAMAN sesawang PPTG KL yang boleh dirujuk untuk urusan strata.
- Diterbit 26 Oktober 2019 9:06 AM MYT

MUKADDIMAH

CUKAI petak bukanlah cukai baharu sebaliknya menggantikan cukai tanah dan memfokuskan bangunan berstrata serta blok sementara. Memberikan ‘keadilan’ menyebabkan ramai yang salah faham dengan mengatakan pelaksanaannya mengakibatkan kadar cukai lebih tinggi dikenakan kepada pemilik.

Bagi memperjelaskan isu ‘kenaikan’ cukai yang ditularkan, wartawan Wilayahku, NAZWIN NAZRI mendapatkan perincian tentang pelaksanaan serta pengiraan baharu cukai petak daripada Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PPTGWP KL), Datuk Che Roslan Che Daud.

Sebelum ini, pemilik petak yang luas menikmati kadar cukai yang sama seperti pemilik petak yang kecil. Mengikut Seksyen 23 Akta Hakmilik Strata 1985, cukai yang dikenakan mengikut keluasan meter persegi petak.

Boleh jelaskan dengan terperinci tentang pelaksanaan cukai petak pada tahun hadapan?

Che Roslan: Cukai petak ialah cukai yang dikenakan ke atas setiap hak milik strata mulai 1 Januari 2020 bagi menggantikan cukai tanah.

Cukai petak bukanlah cukai baharu atau cukai tambahan, tetapi menggantikan cukai tanah sedia ada yang dikenakan ke atas skim strata. Di Kuala Lumpur, terdapat 3,210 skim strata yang merangkumi 359,087 petak strata dan bertambah dari semasa ke semasa.

Mana-mana pembangunan berstrata yang telah dikeluarkan hakmilik strata akan dikenakan cukai petak pada 1 Januari 2020 dan cukai tanah bagi pembangunan berstrata tersebut dihentikan dan dibekukan, manakala pembangunan strata yang masih tidak didaftarkan atau tidak mempunyai hakmilik strata maka masih perlu membayar cukai tanah sehingga hakmilik strata diperoleh.

Pelaksanaan cukai ini tidak boleh dilakukan secara ‘bersama’ sebaliknya hanya satu cukai dikenakan pada satu-satu masa.

Apakah perbezaan atau kelebihan pelaksanaan cukai ini pada masa hadapan?

Che Roslan: Secara prinsipnya, penetapan kadar cukai petak adalah sama seperti cukai tanah di mana faktor saiz keluasan serta kategori kegunaan akan menjadi ukuran kepada jumlah cukai yang dikenakan.

Jika sebelum ini, pembahagian cukai tanah dibahagikan sama rata di antara semua pemilik petak ataupun mengikut pegangan syer.

Dengan adanya cukai petak, kadar adalah dikira berdasarkan saiz keluasan serta kategori kegunaan petak tersebut. Sebagai contoh, pemilik petak kediaman berkeluasan kecil akan membayar kadar cukai petak yang lebih rendah berbanding pemilik petak kediaman yang berkeluasan besar.

Melalui pelaksanaan cukai petak terdapat beberapa kelebihan yang bakal dinikmati oleh pemilik petak seperti:

i. Memudahkan serta memastikan urusan pembayaran yang lebih telus di mana pembayaran cukai petak tidak perlu dibayar kepada pihak Perbadanan Pengurusan (MC) atau Badan Pengurusan Bersama (JMB) sebaliknya bayaran dibuat terus kepada PPTGWP KL

ii. Kewujudan akaun cukai petak secara individual membolehkan pemilik petak yang tiada tunggakan meneruskan urusniaga tanpa sekatan PTGWP dan hanya pemilik petak yang mempunyai tunggakan akan disekat daripada melaksanakan urusniaga

iii. Terdapat insentif kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah (B40) terutamanya pemilik petak kediaman strata dari skim Kos Rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) yang mana cukai petak dikenakan pada kadar tetap tanpa mengira saiz keluasan petak iaitu RM15 (pegangan hak milik pajakan) dan RM20 (pegangan hak milik selama-lamanya)

iv. Berdasarkan rekod PPTGWP, terdapat lebih 70 peratus kediaman mampu milik berstrata jenis pangsapuri atau flat mempunyai saiz keluasan petak keseluruhan di bawah 1,030 kaki persegi (96 meter persegi).

Justeru, kadar cukai petak untuk kediaman jenis ini telah digubal bagi membolehkan pembayaran kadar minimum iaitu RM20 (pegangan hak milik pajakan) dan RM25 (pegangan hak milik selama-lamanya) setahun dapat dinikmati oleh pemilik kediaman mampu milik yang rata-ratanya adalah dari golongan berpendapatan sederhana (M40).

Insentif kepada golongan M40 ini bertujuan untuk memastikan mereka dapat meneruskan kelangsungan kehidupan di bandar raya Kuala Lumpur tanpa dibebankan dengan kos sara hidup tambahan

v. Meringankan beban MC dan JMB yang mana tiada lagi keperluan untuk mengutip caruman cukai tanah daripada pemilik-pemilik strata.

Siapa atau jenis bangunan yang akan terlibat dalam pembayaran cukai?

Che Roslan: Cukai petak hanya akan dikenakan kepada semua pemilik hak milik strata di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan akan berkuatkuasa pada 1 Januari 2020.

Bagi mana-mana skim bangunan strata yang masih belum didaftarkan hak milik strata, ianya akan kekal dikenakan bayaran Cukai Tanah sehinggalah hak milik strata didaftarkan.

Pentingnya pelaksanaan cukai berkenaan dan kadar pengiraan?

Che Roslan: Pengenaan cukai petak ini adalah lebih praktikal dan telus kepada pemilik hak milik strata berbanding cukai tanah sebelum ini kerana formula pengiraan cukai petak adalah mengikut saiz keluasan serta kategori kegunaan sebenar petak berdasarkan hak milik strata yang telah didaftarkan.

Apakah yang dimaksudkan dengan kategori atau kegunaan hartanah itu?

Che Roslan: Terdapat tiga kategori kegunaan iaitu kediaman, perdagangan dan perusahaan. Sebagai contoh, dalam pembangunan strata bercampur ‘mix development’ kalau 100 petak dibina dalam satu ekar tanah maka cukai tanah RM20,000 akan dibahagikan kepada 100 petak.

Selepas diperbetulkan iaitu pelaksanaan yang bermula tahun hadapan, cukai petak dikira berdasarkan keluasan petak tambah petak aksesori dan akan didarabkan kadar mengikut kategori kegunaan petak dan taraf pegangan sama ada pegangan hakmilik selama-lamanya atau hakmilik pegangan pajakan.

Untuk makluman juga ‘common property’ dalam pembangunan berstrata tidak termasuk dalam pengiraan cukai.

Bagimanakah cara atau kaedah pembayaran cukai petak?

Che Roslan: Bagi kemudahan pembayaran bil cukai petak, ianya boleh dijelaskan melalui beberapa kaedah iaitu:

i. Bayaran secara tunai, wang pos, kad kredit, kad debit, dan Bank Draft di kaunter bayaran PPTG WP Kuala Lumpur;

ii. Bayaran secara tunai di mana-mana kaunter bayaran Pejabat Pos (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Selangor sahaja) dan DBKL;

iii. Bayaran secara online (melalui CIMB Clicks, Maybank2u, dan RHB); dan

iv. Bayaran secara online melalui e-Bayaran di laman portal rasmi PTGWP (http://www. ptgwp.gov.my)

Bagi Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA), adakah pembayaran cukai petak dilakukan oleh DBKL atau pembeli?

Che Roslan: Cukai petak akan dikenakan kepada semua pemilik yang mempunyai hak milik strata. Pemilik di sini membawa maksud pemilik petak yang berdaftar di dalam hak milik strata yang dikeluarkan oleh PPTGWP KL.

Sekiranya keseluruhan bangunan atau petak, dimiliki oleh satu pemilik sahaja contohnya DBKL dan tidak menjual pada sesiapa maka bukanlah bangunan berstrata dan pemilik bangunan perlu menjelaskan cukai tanah bukan cukai petak.

Jika sebelum ini, pembayaran cukai tanah adalah dikutip melalui MC and JMB dan termasuk di dalam caj penyelenggaraan, bagaimana pula dengan kutipan cukai petak?

Che Roslan: Pembayaran cukai petak tidak perlu dibayar kepada pihak Perbadanan Pengurusan (MC) atau Badan Pengurusan Bersama (JMB), sebaliknya bayaran dibuat terus kepada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Apakah tindakan yang boleh dikenakan ke atas pemilik yang tidak membayar cukai petak?

Che Roslan: Pemilik yang gagal membuat pembayaran cukai petak di dalam tempoh waktu yang ditetapkan iaitu sebelum 1 Jun setiap tahun akan dikenakan penalti atau denda lewat sebanyak 10 peratus daripada nilai cukai.

Bagi pemilik yang mempunyai tunggakan cukai petak pula, sebarang urusan pindah milik dan gadaian akan disekat dan akan berdepan dengan risiko rampasan petak.

Bagaimanakah PTG dapat menyelesaikan masalah tunggakan cukai bagi tahun-tahun sebelumnya?

Che Roslan: Walaupun cukai tanah ke atas pembangunan strata dihentikan dan digantikan dengan cukai petak, sebarang tunggakan cukai tanah dan denda lewat masih perlu dijelaskan.

Oleh yang demikian, disarankan kepada kesemua pemilik petak strata supaya dapat menyelesaikan sebarang tunggakan cukai tanah kepada pihak JMB/ MC dengan kadar segera.

Manakala pihak JMB/MC pula perlu merekodkan kutipan cukai tanah yang diterima dan seterusnya membuat pembayaran cukai tanah ke tersebut kepada pihak PPTGWP.

Bagi mana-mana pemilik petak yang gagal membuat pembayaran cukai tanah, amaun tunggakan tersebut akan dipaparkan di dalam bil cukai petak yang kedua (bil bagi tahun 2021) dan yang seterusnya sehingga selesai.

Bagaimanakah pemilik boleh menyemak bil cukai petak?

Che Roslan: Berdasarkan perancangan awal, bil cukai petak bagi tahun 2020 akan mula diedarkan kepada setiap pemilik petak strata yang berdaftar pada awal Disember 2019 sehingga awal tahun 2020.

Bagaimanapun, pemilik petak juga boleh membuat semakan maklumat cukai petak melalui capaian portal PPTG WP bermula 1 Januari 2020 seperti berikut: http://www.ptgwp.gov.my > e-Bayaran > ‘ID Hakmilik Strata’ > Masukkan butiran berkaitan atau hadir sendiri ke Pejabat ini di kaunter aras 1 (Bahagian Hasil).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas