Berita

Caruman PERKESO, KWSP antara cadangan pindaan peraturan Finas

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 13 Mac 2024 6:35 PM MYT

PERBADANAN Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sedang melaksanakan pindaan kepada Peraturan-Peraturan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pelesenan) 1983 dalam usaha menjaga kebajikan penggiat industri veteran.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pindaan itu antara lain mensyaratkan pemakaian kontrak standard kepada pengeluar filem dan tenaga kerja produksi bagi permohonan lesen aktiviti perfileman.

“Antara aspek perlindungan yang terkandung dalam kontrak standard ialah keperluan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), perlindungan insurans nyawa dan kemudahan perubatan,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, hari ini.

Sementara itu, Fahmi berkata Kementerian Komunikasi melalui MyCV sentiasa menyokong usaha untuk mewujudkan akses pasaran dan mempromosikan karya penggiat industri kreatif tempatan menerusi pelbagai inisiatif.

Antaranya menerusi pelaksanaan Program Kembara RIUH 2024 dengan peruntukan RM10 juta yang merupakan platform menghimpunkan usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan merangkumi 12 cabang industri kreatif seperti muzik, filem, fotografi, animasi, seni persembahan dan sastera.

Beliau berkata Kembara RIUH 2024 menyasarkan sekurang-kurangnya 5,000 peluang pekerjaan dan menyokong 2,000 usahawan kreatif tempatan.

Selain itu katanya MyCV juga telah menganjurkan pameran seni visual bagi 42 artis seni visual indie tempatan yang tidak terikat dengan mana-mana galeri untuk mempromosikan karya seni mereka kepada orang ramai pada 2019.

“Terkini, dalam usaha untuk menyokong mempromosikan karya penggiat tempatan, MyCV sedang menyediakan katalog karya seni artisan tempatan yang bersesuaian untuk dijadikan sebagai cenderahati korporat dan hadiah rasmi semasa lawatan rasmi saya ke luar negara ataupun sewaktu menyambut delegasi asing ke Malaysia.

“Saya berharap cadangan ini dapat diperluaskan ke semua kementerian,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas