Berita

Capaian internet lebih pantas, pelajar UiTM ucap terima kasih kepada kerajaan

KAMPUS UiTM Kuala Pilih terima peranti satelit Starlink.
- Diterbit 26 Julai 2023 11:20 PM MYT

PELAJAR Universiti Teknologi MARA (UiTM) menyambut baik sumbangan peranti satelit Starlink bagi menambah baik kualiti perkhidmatan internet di setiap cawangan kampus UiTM.

Menurut Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) cawangan Negeri Sembilan, Noriman Ariff Saiful Bahar, usaha Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, sangat membantu para pelajar khususnya di luar bandar untuk mendapatkan akses internet yang laju.

“Alhamdulillah diharapkan dengan capaian internet yang lebih pantas dapat memudahkan proses pembelajaran para pelajar lebih-lebih lagi kami juga turut melalui pembelajaran secara atas talian” ujarnya setakat ini masih terdapat beberapa kawasan di kampus Kuala Pilah yang tidak mempunyai akses internet.

Noriman juga turut merakamkan ucapan terima kasih di atas jaminan dan janji yang diberi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi perjumpaan MPP UiTM pada April lalu bertempat di UiTM Shah Alam.

“Terdapat tiga perkara yang diutarakan pada perjumpaan tersebut iaitu pemberian bantuan e-dompet sebanyak RM200 kepada pelajar, subsidi tiket kapal terbang pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak sebanyak RM300 secara one-off dan capaian internet. Ketiga-tiganya telah dilaksanakan,” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan bercadang menggunakan 40 peranti satelit Starlink di IPT. Perkara tersebut susulan persidangan video secara maya bersama Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk, baru-baru ini.

Pada 15 Julai lalu, Perdana Menteri berkata, kerajaan bercadang untuk menaik taraf kemudahan capaian Internet agar lebih luas serta pantas di kampus bagi memudahkan proses pembelajaran. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas