Berita

Cadangan buka rumah pelacuran bertentangan undang-undang sivil dan syariah

- Diterbit 9 Januari 2024 3:58 PM MYT

CADANGAN untuk membuka rumah pelacuran bagi membantu mengurangkan kes rogol melibatkan warga asing adalah bertentangan dengan peruntukan undang-undang sivil dan syariah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata cadangan tersebut secara jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip ajaran Islam dan Maqasid al-Syariah.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan polemik mahupun isu yang bertentangan dengan ajaran Islam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohd. Na’im, cadangan tersebut telah mengundang polemik dan kontroversi dalam masyarakat memandangkan pelacuran merupakan aktiviti yang tidak dibenarkan menurut undang-undang di Malaysia.

“Pelacuran merupakan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574] dan antara peruntukan berkaitan kesalahan pelacuran adalah seperti Seksyen 372 – menyalahguna mana-mana orang bagi tujuan persundalan; Seksyen 372 A – hidup daripada hasil persundalan atau perdagangan persundalan; Seksyen 372B – mencari langganan bagi maksud persundalan dan Seksyen373 – menguruskan rumah persundalan.

“Di samping itu, dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559] juga terdapat beberapa peruntukan yang berkaitan dengan kesalahan pelacuran.

“Antaranya Subseksyen 21 – pelacuran; Seksyen 22 – muncikari (seseorang yang bertindak sebagai orang tengah antara seorang perempuan dengan seorang lelaki bagi apa-apa maksud yang menyalahi hukum syarak); dan Seksyen 23 – persetubuhan luar nikah,” jelasnya.

Tambah Mohd. Na’im, di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 juga ada memperuntukkan kesalahan kepada mana-mana orang yang menganjurkan, mendorong atau menggalakkan orang lain untuk melakukan apa-apa maksiat sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 35 Akta 559.

Dalam pada itu, beliau menegaskan pelacuran adalah jenayah berat di sisi undang-undang Islam yang termasuk dalam kategori hudud.

“Justeru itu, cadangan untuk membuka rumah pelacuran seperti yang diutarakan adalah tidak boleh diterima sama sekali dan sewajarnya ditolak oleh segenap lapisan masyarakat.

“Dalam mencari penyelesaian terhadap permasalahan yang dihadapi, kaedah fikah berikut sewajarnya dijadikan panduan, kemudaratan itu tidak boleh dihilangkan dengan kemudaratan yang lain.,” tegasnya.

Semalam media melaporkan, pelakon dan usahawan, Datuk Rosyam Nor meluahkan pandangan peribadi apabila bersetuju dengan kewujudan rumah pelacuran di negara ini.

Rosyam atau nama sebenarnya Mohamed Noor Shamsuddin, 57, berasakan perkhidmatan itu dapat membantu mengurangkan kes rogol melibatkan warga asing yang semakin meningkat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas