Singgah

Cabar adrenalin di laluan ekstrem dalam hutan, air terjun

ATV Adventure Park KL
- Diterbit 19 Oktober 2023 4:00 PM MYT

Oleh HAZIRAH HALIM
Foto SHUQQREE DAIN
Video HASIF HALIMI

MEMANDU kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) terutama di kawasan lasak seperti tanah tidak rata, berlumpur dan berlecak pastinya memberi cabaran ekstrem kepada sesiapa yang mencubanya.

Laluan berliku dengan pelbagai cabaran bentuk muka bumi yang lain tidak hanya menguji tahap keberanian serta ketahanan daya tubuh seseorang malah ia juga memberi kepuasan terutama kepada mereka yang menggemari aktiviti lasak seperti ini.

Baru-baru ini, wartawan Wilayahku bersama jurufoto dan juruvideo berpeluang merasai sendiri pemanduan ATV di dalam hutan dengan pelbagai cabaran adrenalin di ATV Adventure Park Kuala Lumpur.

Terletak di Kampung Kemensah, Ulu Kelang, Selangor, lokasi yang mula beroperasi sejak tahun 2005 ini menawarkan pakej-pakej istimewa yang pastinya mencabar dan ingin mengulangi aktiviti ini lagi.

Pengurusnya, Mas Ridzwan Khan Mas Fadzillah Khan berkata ATV Adventure Park Kuala Lumpur terbahagi kepada tiga pakej iaitu pakej B, pakej B+ dan pakej F dengan harga bermula RM110.

“Setiap pakej yang kami tawarkan mempunyai trek cabaran berbeza-beza misalnya pakej B adalah trek yang paling sesuai untuk mereka yang baru hendak mencuba memandu ATV kerana laluannya agak mencabar, naik dan turun bukit tetapi ia lebih singkat iaitu 1.2 kilometer (km) sahaja berbanding pakej lain.

“Bagi pakej B+ pula, ia lebih sesuai kepada mereka yang sudah biasa memandu ATV  dan perjalanannya memakan masa hampir satu jam. Walau bagaimanapun, pengunjung tetap berpeluang mengharungi cabaran di samping menikmati keindahan air terjun di laluan persinggahan atau rehat,” katanya kepada Wilayahku.

Pengunjung juga berpeluang bermandi-manda di air terjun.

Mas Ridzwan berkata ATV Adventure Park KL juga mempunyai trek paling mencabar yang memerlukan pengunjung menempuh laluan berbukit dan sempit iaitu di laluan pakej F.

“Pakej paling jauh dan mencabar adalah pakej F di mana kita akan bergerak menuju ke Lubuk Tedung, Kemensah. Perjalanan pergi dan balik boleh memakan masa selama enam hingga ke tujuh jam.

“Pengunjung akan melintasi empat sungai, banyak bukit dan treknya sangat ekstrem dan mencabar. Untuk pakej ini, kami tidak benarkan sama sekali first timer untuk terlibat dan kami sangat tekankan kepada mereka yang sudah mahir atau profesional sahaja,” ujarnya pakej B dan B+ adalah pakej yang paling digemari ramai.

Di samping pengunjung merasai cabaran memandu ATV, Mas Ridzwan berkata kebiasaannya pengunjung yang melakukan aktiviti teruja untuk merasai keindahan hutan sambil menikmati pemandangan indah flora dan fauna.

“Salah satu tarikan lokasi ini adalah kerana hutannya selain laluan yang berbukit dan agak mencabar terutama ketika hujan. Pengunjung khususnya pelancong sangat suka dengan suasana seperti ini.

Kawasan berlumpur dan berlecak pastinya memberi cabaran ekstrem kepada pengunjung.

“Disebabkan suasana seperti ini juga, kami sentiasa mendapat kunjungan pengunjung dalam dan luar negara,” ujarnya bersyukur para selebriti pihak media turut membantu promosi sehingga ia tular di media sosial.

Ditanya mengenai aspek keselamatan, Mas Ridzwan berkata keselamatan adalah keutamaan oleh pihaknya di mana pengunjung terlebih dahulu akan mendengar taklimat cara pengendalian ATV.

“Di sini keselamatan sangat terperinci. Taklimat itu merangkumi cara mengawal motor, cara mengawal minyak, brek dan lain-lain. Kami juga membenarkan mereka yang berumur 16 tahun ke atas sahaja untuk bermain.

“Selepas taklimat, mereka akan diberi peluang membawa motor ATV di trek latihan yang disediakan sebanyak tiga kali atau lebih sehingga pengunjung selesa dan bersedia untuk memasuki hutan.

“Jangan bimbang, jika anda ikut setiap prosedur yang ditetapkan, ATV bukanlah sukan yang membahayakan. Bila kita kata jangan masuk lorong di mana-mana, tolong dengar dan ikut serta jangan terlalu konfiden,” katanya pengunjung akan diberikan topi keledar dan perlu mengisi borang sebelum memulakan pemanduan.

Untuk merasai sendiri pengalaman berharga ini, Mas Ridzwan turut mempelawa warga kota terutamanya memandu ATV di dalam hutan bandar dengan pelbagai laluan mencabar bermula harga serendah RM110. – WILAYAHKU

Info:

Alamat:
Kampung Kemensah, 68000 Ampang Jaya, Selangor

Waktu operasi:
Isnin hingga Ahad: 9 pagi hingga6 petang
Jumaat: tutup pukul 11 pagi hingga 3 petang

Hubungi:
019-244 8544 (Saiful)
013-277 9246 (Ewan)

Laman sesawang:
www.atvadventurepark.com

Instagram:
@atvadventureparkkl

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas