Berita

Bumiputera digalak rebut peluang berniaga menerusi koperasi

- Diterbit 14 Ogos 2020 9:44 AM MYT

ORANG ramai terutama bumiputera digalak berdaftar dengan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) dalam usaha menceburi bidang perniagaan dan bergelar usahawan tanpa modal yang besar.

Ketua Pegawai Eksekutif KoPPIM Mohd Fadzil Hashim berkata dana daripada caruman bulanan ahli sebanyak RM100 sebulan akan dilaburkan dalam beberapa projek berimpak tinggi terpilih antaranya gedung beli-belah Malakat Mall dan pasar raya komuniti Malakat Grocer 812 .

“Inisiatif ini diharap akan membuka peluang, membantu serta menggalakkan lebih ramai lagi Muslim dan Bumiputera menceburi bidang perniagaan dan menambah pendapatan, sekali gus memastikan golongan ini tidak ketinggalan dalam membangunkan ekonomi negara.

“Kami mengajak orang ramai khususnya penduduk di Taman Putra Perdana di sini untuk berbelanja di pasar raya ini dan menjadi sebahagian pemilik melalui pemilikan saham KoPPIM, supaya setiap sen yang dibelanjakan dapat dimanfaatkan melalui agihan keuntungan” katanya pada majlis perasmian kedai Malakat Grocer 812 yang pertama di Taman Putra Perdana, Puchong, dekat sini, hari ini.

Mohd Fadzil yang juga pengasas pasar raya itu berkata premis perniagaan itu turut menyediakan ruang dan peluang kepada usahawan memasarkan produk mereka dalam komuniti setempat termasuk produk keluaran usahawan kecil dan sederhana bumiputera dan Muslim.

Selain pelbagai barangan keperluan harian, pasar raya yang beroperasi setiap hari bermula dari pukul 8 pagi sehingga 12 tengah malam itu turut menawarkan dua kiosk makanan.

“Kami juga akan memperkenalkan Program Bantuan Makanan Fakir Miskin khusus buat keluarga B40 yang berkelayakan untuk membolehkan mereka membeli barangan keperluan di pasar raya komuniti ini pada harga subsidi,” katanya.  – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas