Berita

Bukit Ampang, lokasi lepak popular di Kuala Lumpur

PENGUNJUNG dapat menikmati makan malam sambil menghayati keindahan ibu kota.
- Diterbit 4 Februari 2020 4:13 AM MYT

PUNYA masa terluang namun tidak pasti ke mana mahu dituju? Apa kata, gunakan peluang yang ada menghirup udara segar di lokasi kegemaran ramai yang terletak di Bukit Ampang, Kuala Lumpur.

Pernah menjadi tular di laman sosial satu ketika dahulu, sememangnya lokasi atas bukit ini menjanjikan pemandangan indah sekitar Kuala Lumpur yang tidak menghampakan.

Saban hari, tempat yang terkenal dalam kalangan golongan muda ini sentiasa menjadi tumpuan ramai bermula lewat petang sehinggalah tengah malam.

Malah ia semakin menerima kunjungan ramai pada hujung minggu dan cuti umum. Yang pasti, pengunjung tidak perlu mengeluarkan belanja untuk melihat suasana indah dari tempat yang tinggi.

Kebiasaannya, selepas waktu Asar, Bukit Ampang mula dipenuhi pengunjung yang rata-ratanya tidak mahu melepaskan peluang menikmati pemandangan matahari terbenam.

Tidak cukup itu, pada sebelah malam pula, ia semakin menerima kunjungan ramai yang mana rata-rata yang datang ingin mengabadikan foto pemandangan Bandaraya yang tidak pernah tidur ini.

Paling menarik, di sini juga terdapat pelbagai gerai jualan yang menjual aneka makanan antaranya laksa Johor, kuey teow, bakso dan sebagainya. Sambil melihat pemandangan menakjubkan, orang ramai boleh menikmati hidangan istimewa di gerai-gerai yang terdapat sepanjang laluan dengan harga yang murah.

DERETAN gerai di sepanjang bahu jalan menjadi tumpuan ramai.

Menurut pengunjung yang dikenali sebagai Wan Nur Liyana Wan Husain, dia sering berkunjung ke Bukit Ampang memandangkan lokasinya berhampiran dengan rumah.

“Saya suka ke sini terutamanya pada waktu petang untuk menghabiskan masa dengan berjoging. Biasanya pada waktu malam pula, kami sekeluarga akan datang ke sini untuk menikmati makan malam,” ujarnya.

Katanya lagi, lokasi di tengah bandar ini amat menarik terutamanya pada waktu malam. Malah jika ingin bertemu rakan-rakan lama, mereka pasti memilih bukit tersebut.

“Mudah kerana di sini tidak perlu bersesak-sesak dan lebih damai berada di puncak yang tinggi ini,” ujarnya yang tinggal di bandar Ampang.

Sementara itu, bagi Zalhilman Ismail, 35, ini merupakan kali pertama dia menjejakkan kaki ke kawasan tersebut dan yang pasti keindahan malam sepanjang berada di sana amat mengasyikkan.

“Tenang dan damai. Jauh dari kesibukan kota. Saya suka suasana seperti ini lebih-lebih lagi saya tidak perlu mengeluarkan belanja untuk mendapatkan pengalaman seperti ini,” ujarnya.

MENIKMATI pemandangan kuala lumpur di waktu malam sambil menjamu selera di atas Bukit Ampang.
Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas