Berita

Bot nelayan Vietnam ditahan ceroboh perairan Labuan

ANGGOTA APMM menahan nelayan warga Vietnam yang menceroboh perairan Labuan semalam.
- Diterbit 9 Mac 2020 12:58 PM MYT

LABUAN – Sebuah bot nelayan bersama tekong dan empat awak-awak warga Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Labuan  semalam

Mereka ditahan bot APMM kerana menceroboh perairan negara dengan menunda ikan di kedudukan perairan 19.01 batu nautika dari Tanjung Kiamsam di sini Labuan pada pukul 2.40 petang.

Pengarah APMM Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, bot nelayan asing Vietnam itu ditahan ketika sedang menunda (memukat ikan) di perairan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong bersama empat awak-awak warga Vietnam berusia 20 hingga 50 tahun berada di atas bot berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati semua mereka gagal mengemukakan lesen bot serta dokumen pengenalan diri,” katanya.

Nor Bakari berkata, bot bersama tekong dan awak-awak kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Labuan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

“Semua mereka ditahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1958/63.

“Jika sabit kesalahan tekong boleh didenda RM1 juta manakala awak-awak boleh didenda RM100,000 seorang atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya selain bot berserta peralatan dilucutkan hak,” katanya.

INILAH bot nelayan Vietnam yang ditahan APMM kerana menceroboh perairan Labuan semalam.

Sementara itu, Nor Bakari berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bekerjasama dengan perompak hasil laut negara.

“Bot nelayan asing ini bukan sahaja merompak hasil laut malah turut menjualnya di pasaran luar negara dengan harga yang tinggi.

“APMM juga menasihatkan komuniti maritim tempatan supaya sentiasa memberikan kerjasama dan maklumat berkenaan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang maritim,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas