Berita

Boko Haram bunuh empat tentera di Niger

- Diterbit 19 Januari 2021 7:45 AM MYT

SEKURANG-kurangnya empat askar terbunuh dan lapan yang lain cedera parah dalam serangan oleh kumpulan pengganas Boko Haram di Niger, kata Kementerian Pertahanan negara itu pada Isnin, lapor Agensi Anadolu.

Pengganas meletupkan alat peledak yang ditanam di wilayah Diffa ketika kenderaan tentera melaluinya, kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Boko Haram melancarkan pemberontakan berdarah pada 2009 di timur laut Nigeria, kemudian meluaskan kekejamannya ke negara jiran Niger, Chad dan Cameroon, yang mendorong tindak balas ketenteraan.

Lebih 30,000 orang terbunuh dan hampir tiga juta hilang tempat tinggal akibat kegiatan pengganas Boko Haram di Nigeria sejak sedekad lalu, menurut Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Keganasan Boko Haram turut memberi kesan kepada sekitar 26 juta orang di wilayah Lake Chad dan  2.6 juta yang lain terpaksa berpindah, menurut Pertubuhan Pelarian PBB. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas