Selebriti

Bisnes jadi keutamaan, bukan merajuk dengan industri – Madrizal

|WALAUPUN bisnes gunting rambut menjadi keutamaan
- Diterbit 16 Februari 2022 3:38 AM MYT

PENYANYI rap yang semakin meningkat naik namanya, Madrizal menyatakan dirinya lebih selesa mengutamakan bisnes gunting rambut dan menjual produknya Mad’s Pomade.

Mengaku tidak merajuk dengan industri muzik, Madrizal melihat bidang perniagaan lebih menjamjn kehidupannya sekeluarga.

“Perniagaan dah mula sejak 2015 dan kini saya sudah mempunyai dua cawangan iaitu di Seri Kembangan, Selangor dan Mainroad, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

“Sambutan pula memang sangat menggalakkan dan saya merancang untuk memasarkannya di luar negara iaitu di Filipina dan Indonesia.

“Perkembangan bisnes yang agak memberangsangkan ini membuatkan saya dan isteri lebih mengutamakan bisnes, selain ia adalah keperluan masyarakat.

“Saya bersyukur dikurniakan isteri yang sentiasa menjadi pendorong dalam susah dan senang. Ia secara tak langsung menjadikan bisnes ini sangat istimewa buat kami selain merupakan pendapatan utama,” katanya yang menafikan dirinya merajuk dengan industri muzik kerana tidak popular sebaris dengan penyanyi-penyanyi rap lain.

WALAUPUN bisnes gunting rambut menjadi keutamaan, Madrizal tetap aktif menyanyi.

Bagi Madrizal, beberapa buah lagunya menjadi lagu tema drama cukup memberi kepuasan kepadanya.

Menyentuh tentang pengalamannya di awal penglibatan dalam nyanyian, Madrizal mengaku dirinya hampir dipukul.

Madrizal mendedahkan yang dia hampir dipukul sekumpulan rappers underground ketika namanya mula menjadi sebutan.

ISTERI menjadi pendorong utama dalam kerjaya dan bisnes

Menurutnya, kejadian itu berlaku pada 2015 ketika dia muncul dengan single pertama berjudul Budak Baru Nak Up yang mendapat sambutan hangat dahulu.

“Perkara itu berlaku kerana ada yang tidak berpuas hati disebaban kemunculan saya secara tiba-tiba dan mendapat sambutan sedangkan yang lain sudah lama dalam underground.

“Ada yang tidak puas hati dan mula nak pukul saya. Bukan sahaja dalam kalangan rappers, tetapi pengikut underground ketika itu juga ada yang menghantar mesej kebencian kepada saya.

“Sebenarnya saya bukan baru dalam dunia hip hop ketika itu kerana saya sudah lama mengikut dan bersama-sama dengan Cat Farish tetapi mungkin ada yang tidak tahu,” katanya kepada Wilayahku.

Menurut Madrizal, kebanyakan mereka rasa tidak puas hati dan mengatakan yang lagunya tidak sedap tetapi masih menjadi pilihan hingga menjadi pihak produksi untuk dijadikan lagu latar drama.

Malah kata Madrizal, dia sendiri yang berusaha untuk berjumpa dengan pihak produksi bagi mempromosikan lagunya dan tidak dibantu sesiapa.

Untuk rekod, setakat ini, Madrizal sudah menghasilkan enam buah single dan kebanyakannya menjadi pilihan sebagai lagu tema drama dan filem.

Terbaharu, dia tampil dengan single berjudul Mamasita pada tahun lalu namun menurutnya, lagu itu gagal mendapat tempat ekoran pandemik COVID-19 yang menyekatnya untuk melakukan publisiti lagu itu.

Selain itu, Madrizal juga popular dengan lagu Budak Baru Nak Up, Sembang, Potong Tang Corner, Celup dan Besar Kepala. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas