Berita

Bayi ditikam bapa ditempatkan di bawah jagaan JKM

- Diterbit 15 Disember 2020 8:48 AM MYT

BAYI perempuan berusia 18 bulan yang cedera parah ditikam bapanya dalam kejadian di sebuah flat di Puchong Permai, Subang Jaya pada Sabtu lepas, kini diserahkan dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Abd Khalid Othman berkata bayi itu yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik Hospital Kuala Lumpur, dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Abd Khalid berkata siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku akibat tekanan yang dialami suspek kerana berpisah dengan isterinya iaitu ibu mangsa pada tahun lepas, selain pengaruh dadah.

“Bekas isteri suspek telah dikenal pasti dan dimaklumkan mengenai kejadian itu. Walaupun sudah bercerai tetapi wanita berkenaan (bekas isteri suspek) dilaporkan masih berhubung dan tinggal berdekatan rumah nenek mangsa,” katanya ketika dihubungi di sini.

Dalam kejadian kira-kira  4.30 petang itu, lelaki tersebut dipercayai menikam perut bayi perempuannya menggunakan sebilah pisau pemotong roti.

Suspek berusia 27 tahun tersebut yang ditangkap tidak lama selepas kejadian direman lima hari hingga Khamis ini  bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas