Sekilas

Bawal Exclusive buka butik mewah

HALIZA (kanan) menyerahkan cenderamata kepada Duta Austria, Dr Michael Postl sambil disaksikan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.
- Diterbit 6 April 2021 9:30 AM MYT

PANCARAN sinaran daripada 100,000 butir batu kristal Swarovski bukan sahaja bersinar terang tetapi dalam masa yang sama memberikan satu pengalaman baharu buat sesiapa sahaja yang mula melangkah kaki ke Crystal World Bawal Exclusive.

Menariknya, butik tudung mewah lagi eksklusif yang menelan belanja RM2.5 juta ringgit ini bukan sahaja memukau pandangan tetapi dalam masa masa yang sama mempamerkan tudung yang bernilai RM10,000 hingga RM RM113,000 selaras dengan aspirasi Bawal Exclusive yang mahu mewujudkan butik tudung paling mewah di dunia bertahtahkan kristal Swarovski.

Bagi pengasas dan pemilik Bawal Exclusive, Puan Haliza Masyuri, dia bersyukur kepada Tuhan kerana impiannya untuk memiliki butik tudung mewah ini akhirnya tercapai setelah sekian lama bergelumang dalam perniagaan tudung.

“Tiada apa yang dapat saya katakan selain bersyukur dengan apa yang dikecapi pada hari ini. Dalam hidup tiada apa yang mustahil dan saya mahu semua orang mempunya azam dan semangat untuk terus berjaya,” kata Haliza.

Sebenarnya impian untuk memiliki butik tudung mewah sendiri bermula pada malam ulang tahun Swarovski yang ke-125 tahun apabila mereka telah dijemput ke majlis makan malam yang berprestij di Wattens, Austria.

Bawal Exclusive telah berpeluang dijemput untuk berdiri sama tinggi dengan jenama-jenama luar dari seluruh dunia. Dengan disinari kilauan lampu yang mempersona telah menambat hati mereka pada malam itu.

Pancaran kristal Swarovksi yang bermula dengan satu butir telah menghasilkan pancaran laser yang menyerlahkan lagi setiap butiran kristal yang berada dalam dewan. Ia merupakan satu kenangan yang tidak boleh dibeli di mana-mana.

“Sejak itu saya menanam impian dan berjanji akan membawa kenangan itu bersama-sama ke Malaysia. Hari demi hari, impian tersebut bakal direalisasikan pada hari ini dengan perlancaran butik tudung mewah bertaraf antarabangsa yang diberi nama Crystal World Bawal Exclusive.

“Butik tudung mewah ini bukan hanya dibina semata-mata untuk dipamerkan pada umum, malah saya ingin membuktikan kepada masyarakat di luar sana bahawa sebagai seorang wanita Muslim yang bermula dari bawah juga mampu untuk berjaya,” tambahnya lagi.

Ini juga membuktikan rakyat Malaysia juga sebenarnya mampu berdiri sama tinggi dengan jenama antarabangsa. Hanya bermula dengan satu langkah dengan semangat yang tinggi serta sentiasa konsisten dengan apa yang dilakukan. Beliau juga ingin menjadi inspirasi kepada usahawan yang baru berkecimpung dalam dunia perniagaan.

“Saya ingin menunjukkan kepada Premium Reseller Bawal Exclusive bahawa mereka juga mampu untuk menjadi seperti ini,” katanya yang berhasrat menjadikan Crystal World Bawal Exclusive sebagai sebuah butik tudung yang paling mewah di dunia yang bertahtahkan kristal Swarovski.

Istimewanya, setelah 23 tahun berkecimpung dalam perniagaan ini, kini pemilik Bawal Exclusive bakal memperkenalkan pewaris mereka sebagai penyambung kepada legasi perniagaan yang diusahakan.

“Saya berharap pewaris saya dapat menjaga dan menjalankan pernigaan ini dengan sebaiknya,” tambahnya.

 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas