Berita

Batal dan gantung lesen serta merta jika tidak patuhi Akta 522 – KPKM

Kredit foto: Bernama
- Diterbit 8 November 2023 1:17 PM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berhak untuk membatalkan serta-merta atau menggantung setiap lesen mana-mana pihak sekiranya didapati gagal mematuhi perundangan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 [Akta 522].

KPKM dalam kenyataan memaklumkan kementerian melalui kuasa Ketua Pengarah Kawalselia Padi dan Beras berhak untuk mengenakan tindakan itu sekiranya terdapat pihak gagal mematuhi akta berkenaan.

Menurut kenyataan itu, KPKM memandang serius berkaitan kekurangan bekalan Benih Padi Sah (BPS) dalam pasaran kerana ia merupakan isu kritikal yang perlu ditangani segera.

“Sehubungan itu, KPKM melalui Kawalselia Padi dan Beras (KPB) melancarkan Task Force Operasi Benih Padi Sah (OP BPS) Zon Utara yang akan dilaksanakan selama dua minggu bermula semalam (7 Nov) hingga 21 Nov 2023 ini.

“Task Force OP BPS ini melibatkan KPB negeri Kedah, Perlis, Pulau Pinang dan Perak bertujuan memastikan bekalan pengedaran dan penjualan BPS mencukupi serta mematuhi harga kawalan runcit baharu berdasarkan Perintah Tetap Ketua Pengarah KPB Bilangan 6/2023,” menurut kenyataan itu.

KPKM memaklumkan Task Force OP BPS di peringkat Zon Utara itu menyasarkan pengeluar BPS dan agen peruncit di negeri Kedah yang mendapat kebenaran menjual benih padi sah kepada pesawah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas