Berita

Bantuan Khas Musaadah Khaira PPZ terima 100,000 permohonan

BANTUAN Khas Musaadah Khaira PPZ diberikan kepada masyarakat yang terjejas ekoran PKP. Gambar hiasan
- Diterbit 11 April 2020 6:55 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) telah menerima sebanyak 100,000 permohonan bagi Bantuan Khas Musaadah Khaira PPZ.

Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Ahmad Shukri Yusoff berkata, permohonan tersebut datang dari seluruh negara membabitkan pelbagai kaum dan agama.

Justeru beliau berkata, pihaknya mengambil keputusan menutup permohonan tersebut pada 9 April lalu.

“PPZ-MAIWP mengucapkan terima kasih kepada mereka yang memohon dan mempercayai inisiatif bantuan ini.

“Untuk makluman, pemohon boleh membuat semakan status penerimaan bantuan ini mulai 1 April dengan melayari portal rasmi Musaadah Khaira PPZ di https://musaadahkhaira.zakat.com.my/semak,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

AHMAD SHUKRI YUSOFF

Ahmad Shukri berkata, pihaknya mengucapkan tahniah kepada mereka yang telah diluluskan permohonan dan berharap bantuan diberikan itu dapat digunakan sebaik mungkin bagi meringankan beban yang sedang dihadapi.

“Kami memohon maaf bagi permohonan yang tidak berjaya. Pihak PPZ-MAIWP telah menjalankan saringan sebaik mungkin bagi memastikan mereka yang mendapat bantuan ini sememangnya layak.

“Kami juga ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi ketika membuat permohonan di laman web rasmi kami iaitu https://musaadahkhaira.zakat.com.my.,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Shukri memberitahu, pihaknya telah memperoleh dana sebanyak RM2.13 juta yang akan memberi manfaat kepada 7,130 orang pemohon bantuan khas Muasaadah Khaira PPZ.

“Dalam masa yang terdekat, pihak PPZ-MAIWP menjangka akan menerima lagi sumbangan RM2 juta dari beberapa buah syarikat yang boleh memanfaatkan lebih 6,000 orang penerima bantuan.

“Bantuan yang kami berikan ini merupakan dana wang wakalah syarikat-syarikat yang telah membayar zakat di PPZ-MAIWP dan dana tanggungjawa sosial korporat (CSR) yang disumbangkan oleh syarikat-syarikat lain yang menjadikan kami sebagai platform bagi menguruskan permohonan orang awam khususnya golongan B40 yang memerlukan bantuan di dalam tempoh PKP,” katanya.

Ahmad Shukri turut memaklumkan bantuan ini diberikan kepada orang Islam dan bukan Islam.

“Bantuan kepada orang Muslim adalah dengan menggunakan dana wang wakalah syarikat-syarikat manakala bagi yang bukan Islam pula menggunakan dana CSR yang telah disumbangkan oleh syarikat-syarikat yang ikhlas membantu dengan menggunakan platform PPZ-MAIWP,” katanya.

Ahmad Shukri turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada syarikat-syarikat yang telah menyumbang dana wang wakalah dan CSR serta mempercayai PPZ-MAIWP sebagai platform untuk menyalurkan bantuan.

“Oleh kerana sumbangan anda, pihak kami dapat meringankan bebanan mereka yang terjejas pendapatan akibat pelaksanaan PKP ini.

“Pihak PPZ-MAIWP juga menyeru kepada semua pembayar zakat termasuklah individu dan
syarikat-syarikat untuk terus setia membayar di PPZ-MAIWP agar lebih ramai golongan asnaf di Wilayah Persekutuan dapat dibantu,” katanya.

Tambahnya, orang ramai yang ingin membuat pembayaran zakat boleh berbuat demikian di laman web
rasmi PPZ-MAIWP, www.zakat.com.my

Sebagai memberikan kemudahan kepada pemohon, sebarang informasi, pertanyaan dan maklum balas berkaitan Bantuan Khas – Musaadah Khaira PPZ boleh dimajukan terus kepada Facebook Page rasmi Khaira PPZ, katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas