Berita

APAD buka permohonan LPS kepada pengusaha kenderaan perkhidmatan awam

- Diterbit 19 November 2020 7:01 AM MYT

AGENSI Pengangkutan Awam Darat (APAD) membuka permohonan Lesen Pengendali Sementara (LPS) bagi membolehkan penggunaan kenderaan perkhidmatan awam sebagai kenderaan barangan atau e-hailing bermula hari ini.

APAD dalam satu kenyataan memaklumkan langkah berkenaan diambil bagi membantu pengusaha kenderaan perkhidmatan awam menjana pendapatan tambahan ketika mendepani impak COVID-19.

Ia juga selaras dengan peruntukan Seksyen 44 dan Seksyen 45 Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus (COVID-19) 2020 (Akta 829) yang membenarkan perubahan sementara penggunaan kenderaan perkhidmatan awam atau kenderaan pelancongan kepada kenderaan barangan atau sebaliknya.

“Permohonan ini terbuka kepada semua jenis kenderaan perkhidmatan awam yang memenuhi syarat ditetapkan oleh Ketua Pengarah Pengangkutan Awam Darat.

“Permohonan dibuka mulai hari ini dan boleh dibuat di semua Pejabat Wilayah dan Kaunter APAD,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai permohonan berkenaan boleh dirujuk di portal rasmi APAD www.apad.gov.my – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas