Berita

‘Anakanda’ buat anak kedua Siti Nurhaliza

- Diterbit 27 April 2021 4:29 PM MYT

SELEPAS seminggu melahirkan melahirkan anak kedua pada 19 April lalu, penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza turut mencipta sebuah lagu berjudul Anakanda yang dituju khas buat puteranya, Muhammad Afwa.

Sebelum ini, lagu Comel Pipi Merah menjadi sebuah lagu trending pada tahun 2018 selepas Siti mengabadikan lagu ciptaan beliau untuk anak yang sedang dikandung, Siti Aafiyah.

Lagu Anakanda dimuatkan dalam album kanak-kanak klasik, Legasi yang dilancarkan pada 1 April 2021. Lagu ciptaan Siti sendiri dan lirik oleh Rozisangdewi merupakan sebuah lagu yang berunsurkan rentak inang.

Album Legasi diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Productions (M) Sdn. Bhd dan edaran digital oleh Universal Music Malaysia.

Menurut Siti, beliau mencipta lagu Anakanda ketika sedang mencari ilham sebuah lagu khas untuk anak yang bakal dilahirkan.

Siti memilih rentak inang bagi menyesuaikan dengan konsep keseluruhan album lagu kanak-kanak klasik, Legasi. Lagu ini diterbitkan oleh Pown Hasril.

” Lagu Anakanda ini merupakan lagu paling akhir saya rakamkan untuk album Legasi. Apabila memutuskan untuk memasukkan lagu Comel Pipi Merah ke dalam album Legasi, saya terfikir untuk mencipta sebuah lagu khas dan baharu buat anak yang bakal lahir,” jelas Siti.

Tambah beliau, Anakanda menggambarkan harapan ibu bapa terhadap jati diri anak lelaki serta mahu menerapkan sisi bertanggungjawab terhadap orang sekeliling.

” Melagukan lirik yang positif, bermoral dan menerapkan asas yang baik juga membantu perkembangan minda anak-anak. Anakanda bukan sahaja bentuk harapan yang dilagukan oleh saya tetapi harapan setiap insan yang memiliki cahayamata,” kata Siti.

Siti juga telah menyiapkan video muzik lagu Anakanda dan bakal disiarkan secara rasmi di saluran youtube Siti Nurhaliza pada hari Isnin, 26 April 2021, jam 9 malam. Video muzik ini mendapat tajaan dan kerjasama daripada syarikat Cuckoo.

Saluran youtube Siti Nurhaliza juga turut melancarkan peraduan khas sempena single terbaharu ini dan akan diumumkan pada 26 April lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas